Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fokus kepelbagaian ekonomi negara di Ticker

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Program perniagaan televisyen Australia, The Airport Economist, telah menyiarkan satu episod yang memfokuskan kepada usaha Negara Brunei Darussalam dalam mempelbagaikan ekonominya di platform penstriman Ticker pada 4 Disember lalu.

    Episod yang bertajuk The Great Transformation of Brunei, menampilkan hos Tim Harcourt, Ketua Ekonomi dan Profesor Industri di Universiti Teknologi Sydney, yang meneroka perjalanan kepelbagaian ekonomi negara ini serta peranan pelaburan asing dalam mencapai matlamat untuk mewujudkan ekonomi yang dinamik dan mampan di bawah Wawasan 2035.

    Dalam temu bual bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), beliau menggariskan agenda kepelbagaian ekonomi menerusi pelan induk ekonomi negara dan lima sektor keutamaan iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, pelancongan dan ICT.

    Temu bual dengan syarikat-syarikat utama dalam sektor ini terdiri daripada Hengyi Industries, Brunei Fertilizer Industries (BFI), Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Royal Brunei Culinary (RBC), sekali gus memberikan penonton gambaran lebih mendalam tentang pelaksanaan rancangan kepelbagaian ini melalui operasi mereka.

    Sebagai agensi utama Negara Brunei Darussalam bagi pelaburan asing dan domestik, LKEB bertindak sebagai rakan pengetahuan untuk episod ini, memberikan pandangan tentang persekitaran perniagaan dan peraturan negara, serta sokongan khusus melalui perkhidmatan Investors’ Concierge yang menawarkan bantuan dan pengurusan hubungan kepada para pelabur.

    Profesor Tim Harcourt (dua kiri) bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew. Turut hadir Pemangku CEO BEDB, Daniel Leong dan ahli kru The Airport Economist. – GAMBAR SERAHAN LKEB

    Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold, yang turut menjadi rakan sokongan untuk episod ini, menyatakan bahawa program ini menyediakan pandangan yang bernilai mengenai konteks ekonomi Brunei dan peluang yang berpotensi untuk pelabur asing.

    Diasaskan di Australia, platform Ticker mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan penonton tempatan.

    Selain itu, melalui pengedaran antarabangsa, Harcourt menyatakan Ticker secara keseluruhan mencapai lebih 380 juta penonton, dengan 3.85 juta tontonan bulanan, memberikan pendedahan yang luas untuk Negara Brunei Darussalam di peringkat global.

    Pelancaran episod ini juga bertepatan dengan peningkatan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Australia kepada perkongsian komprehensif tahun lalu, serta pelancaran Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia 2040, yang merangkumi dana AUD 2 bilion untuk pelaburan Australia di ASEAN.

    “Kami telah menubuhkan pasukan deal khusus di Bandar Seri Begawan untuk memudahkan pelaburan Australia di Negara Brunei Darussalam.

    “Pasukan ini terdiri daripada dua kakitangan sepenuh masa yang komited untuk menarik lebih banyak perniagaan Australia ke negara ini,” kata TYT Arnold.

    Tuan Yang Terutama turut menambah walaupun Australia adalah salah satu pasaran eksport utama Negara Brunei Darussalam dan Negara Brunei Darussalam mengimport produk makanan premium dari Australia, hubungan pelaburan antara kedua-dua negara masih belum mencapai potensi sepenuhnya.

    “Fokus utama untuk hubungan dua hala ini pada masa hadapan adalah meningkatkan pelaburan dua hala, terutamanya ketika kedua-dua negara sedang melaksanakan transformasi ekonomi secara besar-besaran untuk merebut peluang dalam peralihan global ke arah ekonomi hijau,” tambahnya.

    Episod penuh ini dibahagikan kepada tiga segmen dan disiarkan di saluran berita 24 jam Ticker selama sebulan.

    Selain itu, satu bahagian khas mengenai Brunei telah dimuat naik ke saluran The Airport Economist atas permintaan di Ticker, yang menampilkan sembilan segmen termasuk temu bual panjang dan pandangan khas untuk pelancong perniagaan.

    The Airport Economist pada asalnya adalah sebuah buku ditulis oleh Harcourt, yang menawarkan pandangan praktikal tentang menjalankan perniagaan di pelbagai negara, berdasarkan pengalamannya sebagai Ketua Ekonomi di Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade).

    Sejak dilancarkan sebagai siri TV pada tahun 2016, ia telah memprofilkan lebih daripada 30 negara, termasuk negara-negara ASEAN dan Amerika Latin serta Jepun, Korea Selatan dan China.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda