Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran pentingnya penjagaan kesihatan bagi generasi akan datang, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur dan Gleneagles JPMC telah mengadakan Forum Kesihatan: Bersama Ke Arah Generasi Yang Sihat di Perpustakaan Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur, petang tadi.
Forum kesihatan yang diungkayahkan bersempena Hari Obesiti Sedunia 2024 itu telah disambut baik oleh lebih 50 peserta yang terdiri daripada ibu bapa pelajar sekolah tersebut, tenaga-tenaga pengajar, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC.
Adapun forum yang lebih memfokuskan kepada kesihatan kanak-kanak dan remaja itu telah menyaksikan sesi perkongsian ilmu daripada tiga panel yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dr Faezah binti Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin; Pakar Pemakanan Kemasyarakatan, Kementerian Kesihatan, Chua Meah Lean dan Ketua Intervensi Kardiologi, Gleneagles JPMC, Dr Billal Patel serta dikendalikan oleh Pengetua Eksekutif, Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur, Bilal Buttar selaku moderator forum tersebut.
Di samping itu, forum kesihatan berkenaan turut diserikan dengan pameran kesihatan yang diketengahkan oleh Pusat Promosi Kesihatan antaranya mengenai pengambilan makanan dan minuman yang sihat, kepentingan minum air kosong, risiko pengambilan garam dan gula secara berlebihan, langkah-langkah pembakaran kalori dalam makanan semasa beriadah dan bersenam dan sebagainya.