Oleh Ravichandran D.J Paul
FUKUSHIMA – Terletak di pesisir pantai Pasifik Utara yang luas, Wilayah Fukushima adalah kawasan desa Jepun yang santai dan mempersona. Selain daripada keindahan semula jadinya, Fukushima juga amat dekat dengan sanubari kebanyakan orang kerana ia juga tempat kelahiran Tsuburaya Eiji, pencipta wira rekaan Jepun, Ultraman.
Oleh itu jangan terkejut jika melihat begitu banyak arca serta diorama Ultraman di lapangan terbang dan di sepanjang jalan raya. Cuma Fukushima kini lebih dikenali di seluruh dunia berikutan berlakunya kemalangan nuklear akibat gempa bumi Tohuku pada 11 Mac 2011, disusuli tsunami dahsyat yang melanda pantai wilayah itu.
Pada awal Mac, delegasi Malaysia diketuai Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) mengadakan lawatan ke Loji Kuasa Nuklear (NPP) Fukushima Daini.
Tujuan lawatan untuk melihat langkah balas yang diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan di kesemua NPP di seluruh Jepun berikutan bencana yang berlaku di NPP Fukushima Daiichi.
Kedua-dua NPP itu dimiliki dan dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Company (Tepco).
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/Fukushima-2_260618.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/Fukushima-1_260618.jpg)
Delegasi itu juga berpeluang menyaksikan kawasan yang terjejas di wilayah itu, terutamanya di bandar Tomioka dan Naraha, yang semakin pulih setelah penduduknya diarah berpindah berikutan bencana nuklear itu.
Wilayah Fukushima yang terletak ke timur laut Tokyo mudah diakses melalui keretapi, jalan udara dan darat. Perjalanan darat dari Tokyo memakan masa selama dua jam.
Kesan dahsyat tsunami
Lawatan ke Fukushima Daini bukan sahaja memberi peluang kepada delegasi kami masuk sehingga ke dalam ruang reaktor nuklear malah mendapat gambaran mengenai kemusnahan yang berpunca daripada tsunami, antara yang terburuk pernah melanda Jepun.
Meskipun NPP itu tidak terjejas akibat gempa bumi berukuran 9.1 magnitud kerana reka bentuknya yang mampu tahan gempa bumi, gelombang tsunami yang setinggi 15.9 meter (52 kaki) itu bagaimanapun membanjiri bangunan yang menempatkan reaktor dan turbin yang seterusnya hampir menyebabkan berlakunya bencana nuklear.
Senario serupa berlaku di Fukushima Daiichi, yang terletak di pesisir pantai yang sama, kira-kira 20 kilometer dari situ, menyebabkan kemalangan nuklear dan seterusnya penutupan kesemua NPP di seluruh Jepun berikutan kebimbangan faktor keselamatan.
Delegasi itu terkejut apabila ditunjukkan kesan paras air di dinding luar Bangunan Reaktor 1, yang menunjukkan betapa tingginya gelombang tsunami itu.
Air laut yang meresap masuk ke dalam bangunan yang terletak pada ketinggian 12 meter dari aras laut menyebabkan berlaku litar pintas pada papan suis kuasa di bangunan itu, sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Walaupun ruang dalam bangunan sudah dibersihkan selain papan suis kuasa yang baru dipasang, sebahagian daripada papan suis lama yang masih dipenuhi sisa yang dibawa air laut dikekalkan di bangunan itu, agar dapat dilihat oleh pelawat.
Walaupun keempat-empat reaktor ?berhenti operasi’ akibat gempa bumi, tindak balas nuklear dalam reaktor tidak segera terhenti.
Oleh itu, reaktor itu terus menjana haba untuk beberapa hari berikutnya dan air laut perlu dipam ke dalam reaktor secara berterusan untuk memastikan suhunya berada di paras terkawal. Namun, tidak ada kuasa untuk mengendalikan pam selain ada sebahagiannya tenggelam di dalam air.
Semasa taklimat oleh pegawai di loji nuklear itu, jelas bahawa tindakan pantas kakitangan berdedikasi di NPP itu serta bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan keadaan pada hari itu.
Walaupun keluarga mereka sendiri terjejas akibat gempa bumi dan tsunami, sebahagian besar kakitangan dan anggota penyelamat sanggup mengenepikan semuanya itu, sebaliknya memberanikan diri mengharungi kegelapan serta meredah pelbagai sisa peninggalan tsunami selain risiko berlaku satu lagi gempa bumi serta tsunami untuk melihat sejauh mana kerosakan NPP.
Dengan pantas mereka memulakan kerja untuk menyambung bekalan kuasa daripada kemudahan berdekatan yang terselamat daripada kerosakan dengan menggunakan kabel elektrik berat sepanjang 9 km. Mereka akhirnya berjaya memasang bekalan elektrik dalam tempoh sehari, satu tugas yang sebenarnya akan mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan jika tidak bukan kerana faktor kecemasan.
Usaha mereka membuahkan hasil dan Fukushima Daini dapat diselamatkan daripada menerima nasib serupa dengan Fukushima Daiichi.
Demi segala usaha yang diambil untuk menghindar kemalangan nuklear di Fukushima Daini dan seterusnya usaha untuk mengekang radiasi daripada Fukushima Daiichi merebak, dan hakikat bahawa tidak seorang pun kehilangan nyawa akibat bencana nuklear itu, tindakan berani mereka yang terlibat dalam usaha menyelamat pada hari itu perlu dihargai.
Selamatkah reaktor nuklear?
Tenaga nuklear adalah sumber utama penjanaan elektrik ‘base load’. Pada masa ini, lebih daripada 22 peratus kuasa elektrik Jepun diperoleh daripada tenaga nuklear.
Bagaimanapun, istilah nuklear akan mencetus kebimbangan dalam kalangan kebanyakan orang kerana mereka berpandangan bahawa nuklear sangat berbahaya untuk kesihatan serta alam sekitar.
Bagaimanapun, penulis ini yang menyertai delegasi MNPC turut serta meninjau sehingga ke dalam ruang yang menempatkan reaktor nuklear di Fukushima Daini yang kini menunggu untuk memulakan operasi. Selagi kita mengambil semua langkah keselamatan yang perlu, tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Tekonologi tenaga nuklear banyak berkembang maju daripada segi keselamatan dan kecekapan sejak kebelakangan ini dengan Jepun pada hari ini berada di hadapan dalam teknologi tenaga nuklear.
Setiap kemalangan nuklear yang berlaku sedikit sebanyak menyumbang ke arah peningkatan tahap keselamatan.
Lawatan anjuran MNPC itu adalah untuk memberi pendedahan kepada anggota delegasi daripada pelbagai latar belakang mengenai pelbagai aspek NPP dan bahawa mereka sebenarnya selamat walaupun berada di kawasan kemalangan nuklear Fukushima. Lawatan itu juga dianggap penting kerana Malaysia masih menimbangkan untuk memiliki NPP sendiri menjelang 2030, dengan banyak yang perlu dipelajari mengenai kemajuan teknologi tenaga nuklear sehingga ini.
Fukushima hari ini
Walaupun Fukushima Daiichi ditutup untuk selama-lamanya, kawasan sekitar lima batu di sekeliling NPP itu masih tidak boleh diakses orang awam. Tujuh tahun berlalu, bandar Tomioka dan Naraha yang terletak paling dekat dengan tapak kemalangan dilihat pulih semula secara perlahan-lahan.
Penduduk tempatan juga menanam pohon bunga sakura di sepanjang jalan dengan mesej yang dilampirkan menyatakan bahawa mereka akan kembali apabila ia berbunga. Kiraan radiasi sudah semakin menurun dengan kaunter Geiger di stesen keretapi Tomioka menunjukkan bacaan selamat 0.065 MilliSievert.
Malah, delegasi Malaysia dibenarkan turun daripada bas untuk melihat Fukushima Daiichi yang terletak tidak jauh tanpa sebarang rasa bimbang atau sebarang langkah berjaga-jaga.
Bagaimanapun, beberapa bahagian bandar Tomioka kekal sebagai bandar hantu? Hartanah ditinggalkan secara tergesa-gesa, bilik pameran elektrik kelihatan masih penuh dengan barangan elektrik di atas raknya, halaman tempat menjual kereta terpakai ditumbuhi semak, mesin layan diri di kios petrol masih tegap berdiri namun tidak kelihatan seorang pun di jalan raya.
Beg polistirena hitam berisi tanah yang tercemar kerana radiasi kelihatan berlongokan di atas tanah, sekali gus mengingatkan kepada kesan daripada bencana nuklear di Fukushima Daiichi.
Berhampiran Stesen Tomioka di Joban Line, pengunjung dapat melihat satu-satunya rumah kayu di pesisir pantai yang selamat daripada gempa bumi dan tsunami. Sebahagian besar kawasan yang menjadi rata kini dilitupi batu granit, manakala pada satu penjuru terdapat banyak rumah baru dibina.
Bencana yang menimpa Fukushima Daiichi kian menjadi sejarah dan kisah sebenar Fukushima adalah lebih hebat daripada kemalangan nuklear itu. – Bernama