LONDON, 22 DIS – Mikel Arteta berkata persaingan untuk gelaran Liga Perdana Inggeris kini ‘bermula’ selepas pasukan Arsenal bim-bingannya menewaskan Crystal Palace 5-1 kelmarin, untuk merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.
Gabriel Jesus, yang mencetak hatrik menentang Palace dalam Piala Liga di Emirates pada hari Rabu, meledak dua gol di Selhurst Park dan hanya dinafikan gol ketiga kerana terkena tiang gol, dengan Kai Havertz merebut peluang tersebut.
Penyerang Palace, Ismaila Sarr, yang telah menyamakan kedudukan 1-1 untuk pasukannya, gagal memanfaatkan dua peluang terbaik pada awal babak kedua.
Sebaliknya, Arsenal menambah dua gol lagi, melonjak semula ke tangga ketiga di depan Nottingham Forest yang sebelumnya mendahului mereka.
Satu-satunya kebimbangan Arteta – yang sedang meraikan lima tahun sebagai pemimpin Arsenal – adalah Bukayo Saka terpaksa keluar kerana kecederaan pada pertengahan separuh masa pertama.
The Gunners kini semakin hampir dengan Liverpool, namun pasukan Arne Slot beraksi kurang dua perlawanan. Chelsea menduduki tempat kedua, satu mata di hadapan Arsenal.
Arteta berkata Gunners, yang belum memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris sejak 2004, kini berada dalam kedudukan mantap dalam persaingan gelaran.
“Kami belum sampai separuh jalan, jadi kami akan berusaha untuk mencipta sesuatu. Bagi kami, persaingan akan diteruskan,” katanya kepada Sky Sports.
“Kami sedang menang, kami telah melaksanakan tugas dengan baik, kami sedang menemui rentak yang sangat baik ketika ini, walaupun kami seri dua perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (menentang Fulham dan Everton) yang sebenarnya kami layak menang, ia mengenai perlawanan seterusnya,” tambahnya. – AFP