Monday, January 6, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gajah liar kutip ‘cukai’ dari lori

    BANGKOK, 3 JAN – Seekor gajah liar pada Rabu telah bertindak sebagai pemungut cukai di Lebuhraya No. 3076 di wilayah Chachoengsao, menyasarkan lori-lori yang membawa tebu dan ubi kayu yang baru dipotong.

    Memandangkan gajah itu menghalang separuh jalan, pemandu tiada pilihan selain berhenti dan membiarkan gajah tersebut mengambil makanan kegemarannya dari lori yang berhenti di lebuh raya yang melintasi Taman Hidupan Liar Khao Ang Rue Nai.

    Pihak berkuasa taman perlindungan telah mengarahkan pemandu untuk memandu pada kelajuan tidak melebihi 60 kilometer per jam ketika melalui lebuh raya di daerah Tha Takiap, di wilayah timur tersebut.

    Sekiranya mereka melihat gajah liar, pemandu diminta untuk memberhentikan kenderaan dan membiarkan gajah melintas.

    Mereka juga diingatkan agar tidak menghidupkan enjin, menyalakan lampu depan atau membunyikan hon, yang boleh mengganggu gajah liar.

    Berhenti untuk memberi makan kepada haiwan liar di kawasan taman perlindungan juga dilarang, kata seorang pegawai.

    Taman Hidupan Liar Khao Ang Rue Nai adalah kawasan terlindung yang terletak di hujung barat Gunung Cardamom di wilayah Chachoengsao. Kawasan itu meliputi 643,750 meter persegi merentasi lima wilayah Chachoengsao, Chonburi, Rayong, Chanthaburi dan Prachinburi. – ANN/The Star

    Gambar ANN/THE NATION
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda