BADUNG, 18 DIS – Seekor gajah betina daripada spesies terancam dan tinggal di zoo di Bali, Indonesia, ditemukan mati di sungai selepas dihanyutkan arus deras berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu, kata pegawai setempat kelmarin.
Molly, gajah betina berusia 45 tahun, ditemui tidak bernyawa di sebatang sungai berbatu kelmarin, menurut jurucakap Zoo Bali, Emma Chandra, dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Molly sedang dipandu melintasi sungai oleh seorang penjaga pada Isnin sebagai sebahagian daripada rutin hariannya untuk bermain dan meneroka, apabila arus sungai tiba-tiba menjadi deras dan menghanyutkannya.
“Akibat hujan lebat, paras air sungai naik secara tiba-tiba menyebabkan arus yang sangat deras. Dalam situasi ini, Molly hilang keseimbangan dan dihanyutkan,” katanya.
Pihak zoo melakukan pencarian semalaman dengan bantuan penduduk tempatan sebelum bangkai Molly ditemukan kira-kira 6:30 pagi waktu tempatan kelmarin.
“Kami di Zoo Bali amat berdukacita atas kehilangan Molly.
“Molly adalah ahli keluarga kami yang dihargai dan telah bersama kami sejak 2013,” kata Chandra.
Pengurusan Zoo Bali berkata pihaknya akan menguruskan pemindahan bangkai Molly dan persiapan untuk dikuburkan di kawasan zoo.
Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Indonesia sepanjang bulan lalu.
Menurut kumpulan pemuliharaan World Wide Fund for Nature, gajah Sumatera berada di ambang kepupusan, dengan hanya kira-kira 2,400 hingga 2,800 yang tinggal di dunia. – AFP
