Thursday, December 12, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gaji naik lebih 13 peratus penjawat awam Sarawak

    KUCHING, 1 MEI – Kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini amat dinantikan penjawat awam di Sarawak yang menyifatkan berita gembira itu memberi kelegaan kepada mereka.

    Mereka turut bersyukur dengan kadar kenaikan gaji tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Pekerja hari ini.

    Pembantu tadbir James Han, 37, berkata pengumuman berkenaan adalah perkara yang dinantikan.

    “Gaji sekarang masih di takuk lama sedangkan rakyat  melalui pelbagai kenaikan harga barang kebelakangan ini. Mudah-mudahan dapat lebih banyak supaya kita dapat merancang simpanan serta persediaan kecemasan,” katanya kepada Bernama.

    Pembantu pembedahan pergigian, Verona Edwin, berkata ini kali pertama beliau merasai kenaikan gaji sejak berkhidmat 10 tahun lepas.

    “Gaji pembantu tidak begitu tinggi namun saya tetap bersyukur dengan kadar kenaikan lebih 13 peratus sedikit sebanyak dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

    Anggota polis, Henry Medang bersyukur dengan kenaikan itu yang dapat meringankan beban kewangannya.

    “Ketika ini, gaji sedia ada kita cukupkan untuk keperluan harian dan perbelanjaan bulanan sekeluarga. Dengan ini boleh dijadikan sebagai simpanan kecemasan.

    Terdahulu, Perdana Menteri berkata kenaikan gaji itu yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah oleh kerajaan MADANI dan jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus kira-kira 12 tahun lepas.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)  yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding pada RM1,795 sebulan.- Bernama

    Anggota bomba mengikuti siaran langsung ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja 2024. Kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus adalah tertinggi dan terbaik dalam sejarah Malaysia. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda