Sunday, March 16, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gandakan usaha mengantarabangsakan UTB

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) menyeru UTB menggandakan lagi usaha pengantarabangsaannya kerana nisbah pelajar antarabangsa masih belum mencapai sasaran optimum bagi institusi pengajian tersebut.

    Seruan itu dibuat dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen ke-5 UTB, 2017 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas semalam.

    Turut berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro Canselor UTB.

    “Beta mengalu-alukan usaha menanda aras UTB melalui penarafan bintang dan kedudukan di kalangan universiti-universiti di Asia yang mana UTB telah berjaya meraih 4 bintang pada penilaian keseluruhan QS dan pencapaian ini sangatlah bermakna bagi UTB, kerana belum pun 10 tahun usianya, ia sudah mampu mendapat pengiktirafan sama seperti universiti-universiti yang sudah lama tertubuh,” titah Baginda.

    Baginda Sultan juga menyentuh mengenai konsep ‘Triple Helix’ yang pernah dititahkan pada 2014 dan maklum bahawa ia boleh dilaratkan kepada Quadra Helix sekiranya melibatkan inovasi berteraskan pengguna atau ‘user-centric innovation’ serta gembira dengan kemajuan yang dicapai dalam Quadra Helix universiti itu setakat ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai pada Majlis Konvokesyen ke-5 UTB di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas semalam.
    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berkenan mengurniakan ijazah kepada para graduan.

    Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah daripada para graduan dan keluarga mereka.

    Antara para graduan UTB yang hadir untuk menerima ijazah mereka pada Majlis Konvokesyen ke-5 UTB.
    ATAS & BAWAH: Antara ahli keluarga para graduan yang hadir menyerikan majlis konvokesyen UTB.

    “UTB juga sudah merintis usaha membuka makmal sains, teknologi dan inovasi untuk menempatkan industri di dalam kampus. Impak kerjasama seperti ini hendaklah diukur melalui penjanaan modal insan yang mempunyai kebolehpasaran tempatan atau global serta kemahiran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau ringkasnya STEM,” jelas Baginda.

    “Beta juga difahamkan bahawa kerjasama antara UTB dan Syarikat Sesame World Technology telah menghasilkan inovasi ketara melalui pengeluaran produk dalam Directed Sound System yang bernilai komersial sekali gus penting ke arah menyumbang kepada penambahan hasil dalam negara melalui ekonomi berasaskan inovasi,” titah Baginda.

    Baginda turut mengingatkan UTB dalam usahanya menjanakan modal insan, hendaklah ia tidak bercanggah dengan falsafah MIB kerana MIB adalah ‘calak kita.’

    Pada majlis tersebut, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku penaung Majlis Konvokesyen UTB 2017; Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Pendaftar dan Setiausaha UTB, Jennifer Hiew-Lim.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Ia diikuti Keberangkatan Perarakan Canselor memasuki Dewan Plenari, didahului Bentara menjunjung Mushaf Al-Quran di hadapan perarakan berkenaan, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan.’

    Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Surah Hud, ayat 36 hingga 40 oleh graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dalam Kewangan dan E-Perdagangan, Awangku Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Shamsuddin, manakala inti sari ayat dibacakan oleh graduan Program Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam Kejuruteraan Rangkaian, Awang Abdul Waaliummul Fadzl@Abdul Wahub bin Haji Wahab.

    Profesor Dr. Hajah Zohrah dalam sembah alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa UTB telah menyediakan beberapa laluan pilihan melalui kepelbagaian program-program yang mempunyai impak kepada pembangunan negara.

    Menurutnya, inisiatif-inisiatif baharu yang mula diperkenalkan di UTB adalah BriTE atau Bridging for Tomorrow’s Engineers khusus bagi pemohon yang mempunyai Peperiksaan ‘A’ Level yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke program-program kejuruteraan di UTB.

    “Laluan pilihan program-program ijazah kepada pelajar-pelajar dalam dan luar negara diperluaskan lagi dengan penubuhan School of Design atau Sekolah Reka Bentuk yang akan menawarkan dua program baharu pada tahun 2018, iaitu Bachelor of Architecture  (B.Arch) dan Bachelor of Science (Hons) dalam Product Design,” jelas beliau.

    Acara diteruskan dengan titah disusuli istiadat menyembahkan ijazah kehormat kedoktoran dalam bidang kejuruteraan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Ia diteruskan dengan Baginda Sultan berkenan melafazkan titah Kuasa Canselor UTB bagi mengurniakan Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Kebangsaan kepada graduan-graduan, diikuti dengan laungan ‘Allahuakbar’ oleh para graduan dan mereka yang hadir sebagai tanda syukur.

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan Ijazah Sarjana kepada 66 graduan; Ijazah Sarjana Muda kepada 359 graduan; Diploma Tertinggi Kebangsaan Tahap 5 kepada 119 graduan dan Diploma Tertinggi Kebangsaan Majlis Pendidikan Teknikal dan Vokasional Brunei Darussalam (BDTVEC) kepada 258 graduan.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, KDYMM dan DYTM berkenan menerima junjung ziarah daripada para graduan dan ahli-ahli keluarga mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda