Tuesday, January 7, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gas memasak punca asma?

    PARIS, 12 JAN – Penyelidikan baharu yang mengaitkan aktiviti memasak menggunakan gas asli menyumbang kepada 12 peratus kes penyakit asma dalam kalangan kanak-kanak telah mencetuskan perdebatan mengenai risiko kesihatan dalam penggunaan dapur memasak, serta seruan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan regulasi.

    Penyelidik kepada kajian itu berkata, berdasarkan penemuan, mereka menyimpulkan kira-kira 650,000 kanak-kanak AS tidak akan menghidap penyakit asma jika mereka menggunakan dapur memasak elektrik atau induksi di rumah.

    Namun, seorang pakar yang terlibat dengan kajian tersebut mempersoalkan penemuan berkenaan dan mengatakan gas asli jauh lebih sihat berbanding memasak menggunakan kayu api, arang dan arang batu, yang dianggarkan telah menyebabkan 3.2 juta kematian setahun.

    Kajian AS yang telah disemak itu telah diterbitkan bulan lalu dalam International Journal of Environmental Research and Public Health.

    Ia berdasarkan kepada pengiraan risiko menghidap asma di rumah dengan dapur gas daripada 41 kajian terdahulu yang telah disemak pada tahun 2013.

    Gabungkan pengiraan tersebut dengan data bancian AS, ia mengaitkan 12.7 peratus kes penyakit asma dalam kalangan kanak-kanak dengan gas memasak.

    Pengiraan yang sama telah digunakan sebelum ini dalam kajian pada tahun 2018 yang mengaitkan 12.3 peratus kes penyakit asma dalam kalangan kanak-kanak dengan gas memasak di Australia.

    Satu laporan dikeluarkan baru-baru ini menggunakan cara pengiraan yang sama untuk mengaitkan 12 peratus kes penyakit asma dalam kalangan kanak-kanak dengan gas memasak di Kesatuan Eropah.

    Walau bagaimanapun, laporan yang belum disemak itu telah dikeluarkan oleh kumpulan kecekapan tenaga, CLASP dan Persekutuan Kesihatan Awam Eropah. – AFP

    Gas memasak telah dikaitkan dengan kes penyakit asma dalam kalangan kanak-kanak. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda