Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gembira ECRL diteruskan

    KUALA LUMPUR, 27 Jun – Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) memberi khabar gembira kepada penduduk Pantai Timur serta Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang.

    Bagi Yang Dipertua PKMM Abd Ghafar Lambak, langkah kerajaan untuk mengkaji semula kos pembinaan rel sepanjang 688 kilometer, yang menghubungkan pelabuhan Klang, Selangor, Pahang Terengganu dan Kelantan itu amat releven agar ia tidak membebankan rakyat mahu pun negara.

    “PKMM Pahang menyambut baik langkah kerajaan meneruskan semula projek ini kerana penduduk Pantai Timur memang mengharapkan satu kemudahan pengangkutan seperti di kawasan Pantai Barat sebelum ini,” katanya apabila diminta mengulas tentang keputusan kerajaan itu.

    “Untuk golongan kontraktor, ini (projek) akan beri kelebihan kepada perniagaan mereka untuk mengangkut bahan-bahan binaan dari Lembah Klang dengan kos yang lebih efektif,” katanya.

    Pada masa yang sama Abd Ghaffar turut mengharapkan kerajaan supaya membuka lebih banyak ruang kepada kontraktor Bumiputera dalam pelaksanaan projek berkenaan terutama dari segi kerja mula tanah seperti pembersihan lapangan, penanaman rumput, pembinaan longkang mahu pun jalan.

    PKMM Pahang katanya mempunyai 1,611 kontraktor, namun sehingga kini tidak ada seorang daripada mereka dihubungi untuk dilantik dalam projek-projek berkenaan walaupun ramai dalam kalangan mereka mempunyai pengalaman dalam projek berkenaan.

    Projek ECRL memperuntukan kira-kira 30 peratus kerja kontrak kepada kontraktor tempatan manakala kira-kira 70 peratus pekerja akan diambil dari Malaysia.

    Proses tender bagi Pahang siap pada April dan kontraktor utama projek itu, China Communications Construction Co, akan mengumumkan pelantikan subkontraktor di Pahang tidak lama lagi.

    Tender projek ECRL di negeri lain akan dilaksanakan oleh CCCC tidak lama lagi.

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu sebuah portal berita bahawa kerajaan PH akan meneruskan ECRL selepas perbincangan semula kosnya, dengan sejumlah RM20 bilion sudah pun dibayar.

    Anggaran awal sebelum ini mendakwa ECRL, yang disokong China, boleh dilaksanakan pada kos kurang RM40 bilion, namun angka itu melonjak RM60 bilion sehingga RM70 bilion.

    Sementara itu, Yang Dipertuan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPPM) Pahang Yusri Yusof turut berkongsi nada yang sama dengan PKMM Pahang bahawa keputusan kerajaan meneruskan semula projek itu membuka kembali peluang ekonomi kecil, sederhana dan besar kepada rakyat di Pantai Timur.

    “Kita tahu laluan ECRL ini akan juga menghubungkan antara Pebuhan Klang serta Pelabuhan Kuantan dan memudahkan lagi usahawan tempatan yang terlibat dalam perniagaan ini sebelum ini untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

    Namun seperti Abd Ghaffar beliau juga mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan tidak membelakangkan usahawan tempatan dalam kerja-kerja pembinaan projek yang dijangka siap pada Jun 2024 itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda