SAN PEDRO HUAMELULA, MEXICO, 2 JULAI – Ketika penonton bertepuk tangan dan menari, seorang datuk bandar sebuah bandar kecil di selatan Mexico berkahwin dengan reptilia betina dalam upacara tradisional untuk membawa nasib baik kepada rakyatnya.
Victor Hugo Sosa, Datuk Bandar San Pedro Huamelula, sebuah bandar Orang Asli Chontal di tanah genting Tehuantepec di Mexico, mengambil haiwan reptilia bernama Alicia Adriana sebagai tunangnya, melakonkan semula upacara nenek moyang.
Reptilia itu adalah seekor aligator, penghuni paya seperti buaya endemik Mexico dan Amerika Tengah.
Sosa terbukti menepati apa yang digelar sebagai ‘gadis puteri’ menurut tradisi tempatan.
“Saya menerima tanggungjawab kerana kami saling menyayangi. Itu yang penting. Awda tidak boleh berkahwin tanpa cinta Saya bersetuju dengan perkahwinan bersama gadis puteri,” kata Sosa semasa upacara itu.
Sebelum majlis perkahwinan, reptilia itu dibawa dari rumah ke rumah supaya penduduk boleh memeluknya dan menari. Aligator itu memakai skirt hijau, tunik sulaman tangan berwarna-warni dan hiasan kepala reben dan labuci.
Muncung haiwan itu diikat untuk mengelakkan sebarang kecelakaan sebelum perkahwinan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P13-Lead-Gembira_03072023.jpg)