Monday, February 3, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa kecil gegarkan pulau pelancongan terkenal Yunani, Santorini

    ATHENS, 3 FEB – Gegaran gempa yang baru berlaku semalaman menggegarkan pulau pelancongan terkemuka Yunani, Santorini, dengan laporan media menyebutkan bahawa penduduk mula tidur di luar dan sebahagian meninggalkan pulau itu melalui pesawat atau feri, lapor media tempatan hari ini.

    Lebih 200 gempa kecil direkodkan di laut atau di pulau-pulau sekitar, dengan yang paling kuat pada magnitud 4.6, berlaku di perairan antara Santorini dan Amorgos pada petang kelmarin.

    Gempa bermagnitud 4.2 dicatatkan pada 7:10 pagi tadi di sebelah barat laut pulau kecil Anafi, berhampiran Santorini, menurut Institut Geodinamik dari Observatori Nasional Athens.

    Efthymios Lekkas, Presiden Organisasi Perancangan dan Perlindungan Antigempa, memberitahu penyiar awam ERT hari ini bahawa terdapat “kemungkinan kecil untuk gempa bermagnitud 5.5,” namun beliau menolak kemungkinan gempa melebihi magnitud enam.

    Media Yunani melaporkan bahawa beberapa orang menghabiskan malam di luar, sama ada di dalam kereta atau di kawasan yang ditetapkan sebagai selamat oleh pihak berkuasa.

    Ramai yang meninggalkan pulau itu dengan pesawat atau feri, sementara sekolah-sekolah di pulau yang memiliki kira-kira 15,500 penduduk itu ditutup hari ini, lapor media tempatan.

    Pihak berkuasa Yunani telah meminta orang ramai untuk mengelakkan perhimpunan besar di ruang tertutup dan menjauhi pelabuhan tertentu, bangunan terbiar, serta kolam renang kosong.

    Santorini menyambut 3.4 juta pelawat pada 2023, menimbulkan kebimbangan mengenai kesan pelancongan berlebihan. – AFP

    Pelancong mendaki ke perkampungan Fira, ketika kapal persiaran tiba, di pulau Santorini Yunani pada 20 Julai 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda