Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Geng pecah rumah sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret untuk berdepan pertuduhan tambahan. Mohd Dzulfadli bin Abdullah, 36, Norlila Wati binti Awang Hassan, 35, Mohammad Ardi bin Murni, 20, dan Ridzuan bin Mohammed Arif, 28, terdahulu didakwa memecah masuk sebuah rumah di Kampung Sungai Kelugos, Tutong pada 27 Mei lalu dan mencuri satu gas silinder, set kunci kereta BMW dan kereta BMW.
Mohd Dzulfadli untuk tuduhan pindaan didakwa menukar warna kereta yang dicuri dengan mengecatnya dari warna putih kepada hitam di kawasan tanah perkuburan Kampung Buang Tengkurok, Jalan Sungai Kebun pada 27 Mei 2018.
Dalam kes lain, Mohd Dzulfadli, Norlila Wati, Mohammad Ardi dan Adib Sufi bin Mohd Asri, 29, didakwa mencuri dua silinder gas dari kawasan gerai Ramadan Tutong antara jam 7 malam pada 19 Mei 2018 ke 12 tengah hari keesokan harinya.
Mohd Dzulfadli, Norlila Wati, Mohammad Ardi dan Adib Sufi turut didakwa mencuri satu televisyen 36 inci, alat penerima Wifi, set karaoke, dua penggerudi, dua silinder gas dan kabel wayar dari rumah di Kampung Sebakit Bawah Tanjong Maya, Tutong pada 16 Jun lalu.
Pihak pendakwaan yang terdiri daripada Dr Mohammad Hussin Ali bin Idris, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli dan Sabrina binti Haji Mahmud membuat permohonan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Perantaraan.
Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan kes.