LONDON, 24 Feb – Tottenham Hotspur ditunjukkan jalan keluar dari persaingan Liga Europa selepas seri 2-2 bertemu Gent di Wembley yang memberi kelebihan buat kelab Belgium itu untuk mara menerusi agregat 3-2 pada aksi timbal balik, awal pagi tadi.
Tottenham yang dibimbing Mauricio Pochettino tewas 1-0 pada aksi pertama peringkat 32 terbaik itu dan gagal untuk mengatasi defisit sekali pun dua kali mendahului lawan.
Christen Eriksen meletakkan Tottenham di depan pada minit ke-10 sebelum Gent menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Harry Kane (minit ke-21) pada separuh masa pertama.
Spurs bertambah malang apabila pemain tengahnya, Dele Alli diarahkan keluar padang pada minit ke-39 selepas dilayangkan kad merah kerana terjahan keras.
Sekali pun Victor Wanyama berjaya mengembalikan kelebihan tuan rumah pada babak kedua menerusi gol kedua pada minit ke-61, tetapi gol lewat Jeremy Perbet (minit ke-82) sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan Gent.
Sekali pun pertembungan di Wembley itu turut mencatat rekod kehadiran tertinggi baharu Liga Europa dengan 80,465 penonton, gelanggang kebanggaan England itu jelas menambah derita buat Tottenham yang sebelum ini mengharungi dua kekalahan dalam kempen Liga Juara-Juara.
Tampil dengan permulaan yang baik, Tottenham hanya memerlukan 10 minit sebelum membuka tirai jaringan selepas pertahanan Gent tampak ber-gelut dengan corak hantaran bola jauh yang dimanfaatkan sepenuhnya Eriksen dari kanan padang.
Begitupun, ia adalah gol pertama Eriksen selepas 12 perlawanan dalam semua kejohanan. Di sebalik meledak hatrik ketika pusingan kelima Piala FA menentang Fulham, Ahad lalu, Kane melakukan kesilapan apabila menjaringkan gol ke gawang sendiri yang menyaksikan Gent menyamakan kedudukan.
Kyle Walker cuba untuk meletakkan Tottenham di depan sejurus kemudian namun beberapa siri cubaan jarak jauhnya berjaya diselamatkan Lovre Kalinic.
Empat minit sebelum babak pertama berakhir, terjahan dua kaki Alli ke atas Brecht Dejaegere akhirnya menyaksikan dia dilayangkan kad merah namun di sebalik kurang seorang pemain, tuan rumah kembali di depan pada minit ke-61 menerusi Wanyama.
Begitupun, ia tetap malam yang malam buat tuan rumah apabila kesilapan pertahanan, Eric Dier pada minit ke-82 menamatkan perjalanan Spurs di peringkat Eropah menerusi jaringan Perbet. – AFP