Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Gleneagles JPMC telah mengadakan dua prosedur coronary angioplasty yang disiarkan secara langsung pada persidangan MYLIFE 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia, kelmarin.
MYLIFE kali ke-14 itu merupakan persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Persatuan Intervensi Kardiovaskular Malaysia (ICSM) yang mana sejak beberapa tahun kebelakangan telah menarik penyertaan pakar-pakar kardiologi dari seluruh Asia dan dunia.
Persidangan itu telah mempamerkan perkembangan terbaru dan amalan-amalan terbaik dalam menangani kes-kes jantung dan intervensi vaskular yang lain.
Kes-kes secara langsung juga disiarkan dari IJN di Kuala Lumpur, Gleneagles JPMC di Brunei dan Tan Tock Seng di Singapura.
Dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas prosedur itu disempurnakan, Dr Sofian Johar dan Dr Rajinikanth Rajagopal menyatakan kejayaan prosedur itu.

Menurut mereka lagi, “Tiada perbezaan di antara prosedur biasa yang dilakukan sehari-hari di Gleneagles JPMC. Cuma hari ini pasukan mereka melakukannya secara langsung bagi mengikuti MYLIFE.”
Dr Sofian Johar juga menyatakan prosedur tersebut berjalan dengan lancar dan pesakit kini dalam keadaan stabil.
Ini merupakan kali pertama prosedur perubatan secara langsung disiarkan dari Brunei ke satu persidangan antarabangsa yang dihasratkan untuk mempamerkan kaedah penjagaan jantung maju yang kini terdapat di Brunei.
Gleneagles JPMC telah menyediakan penjagaan jantung dan cardiothoracic tahap tinggi di Brunei sejak 15 tahun lepas. Dengan kemudahan yang disediakan, para pesakit berupaya untuk menjalani prosedur-prosedur jantung lanjutan seperti complex angioplasty, implan peranti, kajian-kajian electrophysiology dan ablation serta intervensi struktural.
Prosedur-prosedur itu menekankan penggunaan teknik-teknik terkini seperti FFR yang mengukur aliran tekanan-tekanan darah di dalam arteri dalam jantung dan OCT (Optical CT – Melihat keadaan dalam arteri jantung menggunakan CT) untuk menjalankan prosedur penempatan angioplasty dan stent secara tepat.
Sebagai sebahagian daripada pertalian intervensi kardiologi, pakar-pakar di Gleneagles JPMC bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sekerja mereka di kawasan serantau, bertukar-tukar buah pemikiran dan mengambil peranan aktif dalam kerjasama dan mesyuarat-mesyuarat saintifik.
Melalui siaran langsung pertama dari Brunei ke Malaysia itu juga akan meningkatkan lagi dalam mempromosikan kerjasama ini.