Thursday, December 12, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    GM hentikan projek robotaxi

    SAN FRANCISCO, 11 DIS – Syarikat kereta gergasi Amerika Syarikat, General Motors mengumumkan semalam ia akan membatalkan usaha pembangunan robotaxinya selepas insiden pada tahun lepas membantut perkembangannya dalam bidang kenderaan autonomi.

    Pengeluar yang berpangkalan di Detroit itu merancang untuk menggabungkan unit kenderaan robotaxi Cruise dengan pasukan teknikal GM untuk menumpukan pada pembangunan sistem bantuan pemandu moden untuk kenderaan peribadi, kata satu kenyataan.

    Syarikat itu berkata ia membatalkan projek Cruise ‘memandangkan masa dan sumber yang cukup besar yang diperlukan untuk mengendalikan perniagaan, selain pasaran robotaxi yang semakin kompetitif.’

    Ia menandakan titik perubahan besar untuk GM, yang membeli firma Cruise pada 2016 dan sejak itu telah membelanjakan berbilion dolar untuk menjadikan operasi itu berdaya maju.

    “Perniagaan robotaxi bukan perniagaan teras General Motors,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GM, Mary Barra dalam panggilan dengan penganalisis.

    Honda, pelabur dalam Cruise, telah merancang untuk melancarkan perkhidmatan robotaxi di Jepun pada 2026, tetapi kumpulan Jepun itu kini akan “menilai semula masa depan projek itu dan membuat penyelarasan yang diperlukan, termasuk kemungkinan pembatalan, sebaik sahaja Cruise memuktamadkan penstrukturannya,” beritahu anak syarikat Honda AS kepada AFP.

    Penggantungan operasi berlaku setahun selepas Cruise terpaksa menghentikan semua operasi di San Francisco selepas sebuah kereta pandu sendiri mengheret seorang wanita yang pertama kali dilanggar oleh pemandu langgar lari di bandar itu.

    Cruise kehilangan permit operasinya daripada pengawal selia, menangguhkan perkembangan operasi ke negeri lain dan memberhentikan 900 pekerja – satu perempat daripada tenaga kerjanya. – AFP

    Kereta elektrik General Motor, Cruise AV kelihatan di Detroit. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda