Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol lewat B-21 kekang KB Allstars FC

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BELAIT, 19 MEI – Jaringan menarik hasil sepakan percuma oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim pada minit ke-88 telah berjaya mengikat pasukan KB Allstars FC untuk berkongsi jaringan 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Padang BSRC, semalam.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, yang membarisi Pasukan B-21 Kebangsaan, mempamerkan permainan yang cemerlang sekalipun pasukan KB Allstars FC lebih awal berjaya menjaringkan gol menerusi Muhd Helmi Wafi Suhaimi pada minit ke-71.

    “Secara keseluruhan, para pemain telah menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan dan kerjasama dalam pasukan, namun mereka perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang terbaik dan memperbaiki kesilapan yang ada,” ujar Ketua Jurulatih Pasukan B-21 Kebangsaan, Aminuddin bin Jumat.

    Beliau menambah, tahap kecergasan pemain perlu ditingkatkan dan kelemahan terutama dalam aspek set pieces perlu diperbaiki.

    Selain itu, beliau turut mengingatkan agar semua pemain meningkatkan komunikasi di antara mereka untuk membentuk kerjasama yang padu dan membantu mencapai prestasi terbaik.

    “Kita akan meneruskan latihan untuk memperbaiki kekurangan dalam pasukan di samping mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan bagi memberikan pendedahan kepada pemain-pemain di dalam dan luar negara,” jelasnya.

    Pasukan B-21 Kebangsaan dijangka akan menyertai Kejohanan AFF B-19 di Surabaya, Indonesia pada Julai dan AFC B-20 pada September depan.

    Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Feisal Eusoff, yang baru pulang selepas menghadiri Sidang Kemuncak FIFA dan AFC di Bangkok, turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut bersama Timbalan Presiden FABD, Haji Mahrub bin Haji Murni dan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bersama Pasukan B-21 Kebangsaan semasa perlawanan persahabatan menentang pasukan KB Allstars FC, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda