LIVERPOOL, 20 FEB – Jurulatih baharu Crystal Palace, Oliver Glasner memerhati dari tepi padang apabila pasukannya dinafikan menang di Everton dengan gol penyamaan lewat dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.
Glasner dilantik hanya beberapa jam sebelum keputusan seri 1-1 selepas Roy Hodgson meletak jawatan kerana masalah kesihatan pada awal hari itu.
Bekas jurulatih Eintracht Frankfurt itu menandatangani perjanjian hingga Jun 2026 tetapi pembantu Hodgson, Paddy McCarthy dan Ray Lewington mengetuai pasukan di Goodison Park.
Glasner menyaksikan pertemuan buruk yang diserikan dengan rembatan deras Jordan Ayew dari luar kotak 20 minit memasuki babak kedua.
Bagaimanapun, apabila kelihatan seperti Palace akan menang buat kali pertama sejak Januari, Amadou Onana menyamakan kedudukan untuk Everton. Dengan baki enam minit, beliau bangkit paling tinggi dalam kotak penalti yang penuh sesak untuk menanduk masuk sepakan sudut Dwight McNeil.
Keputusan itu disambut baik oleh kedua-dua belah pihak, yang bergelut berhampiran kaki carta liga.
Everton tidak menang dalam lapan perlawanan tetapi keputusan seri itu mengeluarkannya daripada zon penyingkiran dengan perbezaan gol. Ia mempunyai 20 mata, sama seperti Luton, yang jatuh ke tangga ke-18.
Palace hanya memenangi dua daripada 14 perlawanan terakhirnya, satu daripadanya menentang kelab tercorot Sheffield United. Ia tidak menyimpan rekod bersih sejak 4 November.
Hodgson, 76, dipersalahkan oleh beberapa peminat kerana perlawanan-perlawanan buruk itu tetapi apabila spekulasi mengenai masa depannya memuncak minggu lalu beliau jatuh sakit pada sesi latihan dan dimasukkan ke hospital. Beliau telah dibebaskan tetapi kesihatannya yang lemah mendorong bekas jurulatih England itu meletak jawatan, kelmarin.
“Saya faham, memandangkan keadaan baru-baru ini, mungkin bijak pada masa ini untuk kelab merancang lebih awal,” kata Hodgson.
Penggantinya, seorang warga Austria yang mengetuai Eintracht menjulang kejuaraan Liga Europa pada 2022, dijangka akan berada di ruang ganti untuk perlawanan seterusnya Palace, menentang Burnley yang kedua tercorot dalam liga pada hari Sabtu. – AP