TAWAU, 26 Feb – Golongan belia perlu didedah dengan pengetahuan fardu kifayah khusus ilmu pengurusan jenazah, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
“Pendekatan mengadakan kursus atau bengkel seperti pengurusan jenazah akan dapat membudayakan tuntutan ilmu fardu kifayah sekali gus melahirkan generasi muda yang cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pengurusan Jenazah di Surau Jabal Nur di Jalan Apas di sini hari ini.
Bengkel tersebut disertai 130 belia dan dianjurkan Persatuan Pertubuhan Gagasan Daerah Tawau (PENGASAS) bersama Ahli Parlimen Belia Malaysia Tawau.
“Dengan adanya kursus seperti ini ia akan dapat membuka minda generasi muda ke arah kehidupan yang berkualiti berlandaskan al-Quran dan sunnah serta akan menyumbang kepada aspek pembangunan bersepadu dan seimbang modal insan berilmu,” katanya. – Bernama