Wednesday, January 8, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Golongan mualaf terus disokong

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Seramai 65 orang peserta dari keempat-empat daerah pagi tadi menyertai Skim Bimbingan Lanjutan II bagi Mualaf Siri ke-39 (Lelaki) yang akan berakhir pada 16 Ogos.

    Daripada 65 orang peserta berkenaan, 21 orang dari Daerah Brunei dan Muara mengikuti skim tersebut di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah. Manakala, 18 orang dari Daerah Tutong, 16 (Daerah Belait) dan 10 (Daerah Temburong) mengikuti skim berkenaan di Pejabat Unit Dakwah daerah masing-masing.

    Antara objektif skim ini diadakan adalah untuk memberikan sokongan dari sudut moral dan spiritual kepada peserta mualaf serta membantu para peserta untuk lebih memahami ajaran agama Islam.

    Skim bimbingan anjuran Pusat Dakwah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) diadakan setiap hari kecuali Ahad.

    Antara pengisian Skim Bimbingan Lanjutan II tersebut ialah pelajaran Iqra’, Amali, Zakat, Muamalat, Akidah, Korban dan Akikah, Tauhid, Sejarah Islam, Tasawuf serta sesi kongsi sama dari Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengenai ajaran-ajaran sesat di Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, skim tersebut juga diisikan dengan aktiviti lawatan ke Taman Peranginan Wasai Wong Kadir Labi, Belait bagi praktikal sembahyang jamak dan qasar serta tatacara berwuduk di dalam hutan.

    Antara peserta mualaf yang menyertai skim berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Para peserta bersyukur dengan penganjuran skim berkenaan yang membantu mereka lebih memahami ajaran Islam. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Sebahagian tenaga pengajar bagi skim tersebut. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda