Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Golongan muda bentuk masa depan pelancongan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin telah mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Meja Bulat Menteri-menteri Pelancongan Ekspo Pelancongan Jepun (TEJ) ke-7 dengan kolaborasi Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Tourism) yang berlangsung di TEJ pada 26 hingga 29 September.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, turut hadir semasa mesyua-rat berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kedua di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim serta pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan.

    Ahli panel bagi meja bulat berkenaan terdiri daripada Pengarah Serantau bagi Asia dan Pasifik, UN Tourism, Hae Guk Hwang; Pengarah Urusan Asia Pasifik, World Travel & Tourism Council (WTTC), Liz Ortiguera dan Pengarah Eksekutif, Suruhanjaya Pelancongan Eropah (ETC), Eduardo Santander.

    Perbincangan meja bulat berkenaan menumpukan kepada tema, Menjana Sebuah Perjalanan Pengembaraan Baharu dengan fokus untuk melibatkan golongan muda dalam membentuk masa depan pelancongan.

    Perbincangan menggariskan peranan penting generasi muda dalam memacu inovasi dan transformasi di dalam sebuah industri yang pantas berubah.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyampaikan kenyataannya pada mesyuarat meja bulat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    Gambar ramai ahli panel yang hadir pada mesyuarat meja bulat di Ekspo Pelancongan Jepun baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Ia mengetengahkan pentingnya memberikan inspirasi kepada golongan belia untuk menimbangkan bagaimana pendigitalan, kemampanan dan peralihan tabiat pelancong boleh membentuk masa depan pelancongan, serta menyeru penglibatan aktif mereka dalam membayangkan semula landskap pengembaraan.

    Meja bulat itu seterusnya membincangkan mengenai strategi-strategi untuk mengangkat kualiti dan nilai tawaran pelancongan, dengan tujuan menjana pengalaman yang lebih bermakna untuk pelawat.

    Penekanan juga diberikan kepada peralihan ke arah model pelancongan berasaskan nilai yang menyampaikan pengalaman yang tersusun dan tersendiri, meningkatkan pengalaman pelancong, mempromosikan pemuliharaan ekosistem dan budaya tempatan, memastikan bahawa pembangunan pelancongan adalah mampan serta pada masa yang sama menyemai kestabilan ekonomi jangka panjang dan memupuk hubungan yang lebih dalam antara pelancong dan tempat-tempat yang dilawati.

    Satu lagi bidang utama yang dibincangkan adalah kepentingan pelancongan kebudayaan khususnya menerusi lensa pelancongan gastronomi. Pengalaman kulinari dikenal pasti sebagai pengantara yang kuat bagi memupuk kefahaman kebudayaan yang lebih mendalam, menawarkan para pelawat peluang untuk terlibat sama dengan sesebuah destinasi menerusi tradisi makanannya yang kaya.

    Pelancongan gastronomi bukan sahaja meningkatkan pengalaman keseluruhan pelawat tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi tempatan dengan mengetengahkan hidangan serantau dan memperkasakan pengeluar makanan tempatan.

    Dalam kenyataannya semasa Mesyuarat Meja Bulat Menteri-menteri TEJ ke-7, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf mengetengahkan peranan mustahak yang dimainkan oleh golongan muda sebagai tenaga kerja utama dan bakal pemimpin masa depan dalam industri pelancongan.

    Melibatkan golongan muda sebagai juara baharu pelancongan masa depan, jelasnya, adalah penting bagi memupuk pelancongan bernilai tinggi di mana komitmen kolektif mereka kepada kemampanan serta pemuliharaan budaya dan alam semula jadi di serata rantau akan membentuk masa depan industri.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda