Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google didapati langgar undang-undang antipersaingan AS

    SAN FRANCISCO, 6 OGOS – Google didapati melanggar undang-undang antipersaingan Amerika Syarikat (AS) dengan mengekalkan monopoli dalam pasaran carian dalam talian, menurut seorang hakim persekutuan dari Mahkamah Daerah Columbia, kelmarin.

    Hakim Amit Mehta bersetuju dengan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) bahawa Google mempunyai monopoli dalam ‘perkhidmatan carian umum’ dan ‘pasaran iklan teks carian umum’.

    “Setelah meneliti dan mempertimbangkan dengan teliti keterangan saksi dan bukti, mahkamah membuat kesimpulan bahawa Google adalah sebuah monopoli dan ia bertindak sebagai monopoli untuk mengekalkan kedudukannya,” menurut keputusan mahkamah.

    “Ia telah melanggar Seksyen 2 Akta Sherman,” tambahnya.

    Keputusan itu menyatakan bahawa Google menguasai kira-kira 90 peratus pasaran carian dalam talian dan 95 peratus pasaran carian di telefon pintar, mengakhiri kes yang berlangsung selama beberapa tahun.

    DOJ dilaporkan telah menyaman Google pada tahun 2020 kerana mendominasi carian secara dalam talian, yang merupakan kali pertama dalam satu generasi di mana kerajaan AS menuduh sebuah syarikat besar sebagai monopoli yang tidak sah.

    “Keputusan bersejarah ini menjadikan Google bertanggungjawab,” kata Penolong Peguam Negara Antipersaingan DOJ, Jonathan Kanter dalam satu kenyataan.

    “Ia membuka laluan untuk inovasi bagi generasi akan datang dan melindungi akses kepada maklumat untuk semua rakyat Amerika,” tambahnya. – Xinhua

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda