SYDNEY, 16 APRIL – Mahkamah Australia hari ini memutuskan Google melanggar peraturan Australia dengan mengelirukan pengguna berhubung pengumpulan data lokasi menerusi telefon bimbit Android.
Badan pemantau persaingan digital menyifatkan keputusan mahkamah terhadap Google itu sebagai yang pertama di dunia membabitkan gergasi media sosial itu.
Mahkamah Persekutuan mendapati firma itu melanggar undang-undang pengguna Australia dengan mengumpul ‘sejarah data lokasi’ sesetengah pengguna biarpun mereka sudah meninggalkan laman perkongsian maklumat itu.
Ia juga menyatakan Google gagal menjelaskan kepada pengguna bahawa kebenaran bagi menjejaki ‘Web & App Activity’ di telefon bimbit mereka merangkumi kebenaran menyimpan data terbabit.
Banyak kajian di seluruh dunia merekodkan masalah penyimpanan data lokasi pengguna yang dikumpul menerusi gajet Android dan iPhone, selepas pengguna memilih untuk menamatkan perkhidmatan itu.
Data seumpamanya amat berharga kepada pengiklan yang mahu memasarkan produk atau perkhidmatan mereka berdasarkan lokasi.
Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) yang membawa isu itu ke mahkamah, berkata keputusan itu menandakan tindakan penguatkuasaan yang pertama dunia berhubung data lokasi pengguna.
“Ia adalah kejayaan kepada pengguna khususnya kepada orang yang mementingkan kerahsiaan dalam talian.” – AFP