Friday, February 21, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Grid kuasa ASEAN kunci keselamatan, integrasi tenaga serantau’

    JAKARTA, 19 FEB – Grid Kuasa ASEAN (APG) ialah komponen utama dalam visi tenaga rantau ini, yang bertujuan untuk mengubah landskap keselamatan tenaga, daya tahan dan integrasi serantau, kata Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

    Dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Tenaga ASEAN kelmarin, beliau melahirkan rasa puas hati kerana Malaysia terus mengutamakan APG di bawah kepengerusiannya pada 2025, membina momentum daripada tahun-tahun sebelumnya.

    “APG mempunyai potensi besar untuk memacu perdagangan kuasa pelbagai hala, mempercepatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui, dan memastikan tenaga elektrik mampu milik di seluruh ASEAN,” katanya, menurut Sekretariat ASEAN.

    Kao menekankan bahawa ASEAN komited untuk memajukan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC), memfokuskan pada mengembangkan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga, dan mempromosikan inovasi teknologi.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan rantau ini dalam usaha berkenaan memerlukan tindakan kolektif, menggesa kerajaan, pemimpin industri, pelabur dan institusi penyelidikan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perjalanan transformatif ini.

    Beliau menekankan bahawa Pusat Tenaga ASEAN (ACE) memainkan peranan penting dalam strategi tenaga rantau ini, menyediakan penyelidikan penting, panduan dasar dan platform kerjasama, di samping mengukuhkan ACE adalah penting untuk memastikan kepimpinan ASEAN dalam membentuk agenda dan keutamaan tenaganya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda