NEW DELHI, 13 JUN – Pihak berkuasa India, hari ini berkata sekurang-kurangnya 8,000 orang telah dipindahkan dari pantai Gujerat di India ke lokasi yang lebih selamat susulan siklon Biparjoy.
Pemindahan dilakukan dari kawasan dalam jarak 10 kilometer (km) dari pantai di daerah Kutch dan Saurashtra di Gujarat.
“Sehingga kini, 8,000 orang telah dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat di Kutch,” Xinhua memetik kenyataan Menteri Kesihatan Persekutuan India Mansukh Mandviya.
Selain itu, 150,000 hingga 200,000 haiwan kecil dan besar turut dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi.
Mandviya berada di Kutch Gujerat untuk memantau persediaan.
Menurutnya semua agensi persekutuan dan kerajaan tempatan, Tentera Udara, laut, pengawal pantai dan pihak berkuasa pengurusan bencana kini bekerjasama untuk meminimumkan kesan siklon.
“Aktiviti di pelabuhan terbesar negara di Kandla digantung dan pekerja di sana telah dipindahkan dan semua kapal di pelabuhan Kandla dan pantai Saurashtra telah berlabuh untuk mengelak daripada terperangkap,” katanya. – Bernama