KOTA KINABALU, 23 APRIL – Seorang guru besar yang sedang digantung tugas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan sumbangan Ketua Menteri empat tahun lepas.
Abdul Rasad Sadikir @ Sadikil, 56, didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu penyata akaun bank bagi pertuduhan pertama dan surat sokongan pegawai Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Banggi bagi pertuduhan kedua.
Dia didakwa mengemukakan dokumen palsu tersebut untuk menipu bagi mendapatkan sumbangan peruntukan khas Ketua Menteri, untuk pembinaan Pejabat Pentadbiran Persatuan Komuniti Anak Banggi di Kampung Karakit Banggi, Kudat berjumlah RM85,000.
Abdul Rasad didakwa melakukan kesalahan itu di Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Blok C Menara Kinabalu, Jalan Teluk Likas, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu antara April 2021 hingga Julai 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 12 Jun untuk pengurusan kes.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama
