Terlebih dahulu saya ingin berterima kasih kepada guru-guru tuisyen tempat anak saya belajar.
Saya berasa bersyukur kerana keputusan peperiksaan hujung tahun anak saya amat memberangsangkan.
Sebelum ini, keputusannya hampir tidak memuaskan dan banyak angka merah pada beberapa subjek.
Ini membuktikan bahawa usaha dan dedikasi guru-guru tuisyen juga memainkan peranan penting dalam membantu memberikan bimbingan tambahan kepada pelajar.
Tetapi guru-guru tuisyen ini sering dilupakan atau hanya dipandang sebelah mata.
Walaupun mereka tidak menerima perhatian atau penghargaan yang besar, dedikasi mereka tetap memberi impak yang besar dalam hidup pelajar.
Guru tuisyen ini sering kali meluangkan masa di luar waktu kerja rasmi untuk memastikan pelajar memahami subjek dengan lebih mendalam.
Mereka mungkin individu yang tidak dikenali oleh masyarakat secara meluas, namun peranan mereka membantu pelajar mencapai kejayaan akademik dan impian mereka, tanpa mengharapkan ganjaran atau pujian.
Kejayaan pelajar merupakan bukti terbaik pengorbanan mereka.
Menjadi persoalan di sini, jika saya tidak menghantar anak saya ke sekolah tuisyen adakah anak saya akan terus dianggap lemah di dalam kelasnya?
Perkara ini perlu diambil perhatian pihak-pihak berkenaan, kerana apabila keputusan peperiksaan sudah keluar, yang mendapat pujian dan sanjungan hanya satu pihak sahaja dan bukan guru tuisyen.
Hakikatnya, guru tuisyen sering menjadi penyelamat akademik bagi pelajar yang bergelut dengan pembelajaran di sekolah.
Guru tuisyen bukan sahaja mengajar subjek tertentu tetapi juga kemahiran belajar seperti pengurusan masa, teknik menghafal dan menyusun strategi belajar yang lebih berkesan.
Oleh itu sebagai individu prihatin, masyarakat perlu menghargai guru tuisyen sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang penting.
Pengiktirafan mereka boleh diwujudkan melalui penghormatan moral, sokongan komuniti atau penonjolan kisah kejayaan yang melibatkan peranan mereka.
Mereka layak dihargai kerana komitmen dan dedikasi mereka terhadap usaha mereka membantu para pelajar dalam memperbaiki akademik.
Bapa Tunggal