Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haaland benam Fuerth, kejar mata Bayern

    BERLIN, 16 DIS – Erling Haaland menjaringkan dua gol kelmarin ketika Borussia Dortmund mengurangkan pendahuluan Bayern Munich di puncak carta Bundesliga kepada enam mata dengan kemenangan 3-0 ke atas pasukan tercorot, Greuther Fuerth.

    Haaland meledak di kedua-dua belah separuh masa sebelum pemain penyerang Belanda, Donyell Malen menyambar gol ketiga Dortmund untuk memeterai kemenangan.

    Kemenangan di gelanggang sendiri membolehkan Dortmund untuk mengekalkan jurang mata di belakang Bayern, yang kekal di landasan untuk kejuaraan liga ke-10 berturut-turut selepas membelasah Stuttgart 5-0 pada Selasa lalu.

    Haaland telah menjaringkan 19 gol dalam 15 perlawanan untuk Dortmund musim ini dan pemain Norway yang tinggi itu kembali bersinar di Signal Iduna Park.

    Hantaran awalnya yang tepat pada masanya di dalam kotak menyaksikan Thorgan Hazard menerjah jaring, tetapi gol itu dikenakan kesalahan ofsaid.

    Haaland kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama dan menanduk masuk sepakan percuma Julian Brandt lapan minit sebelum tamat permainan sebelum pemain ganti, Malen merembat masuk gol ketiga Dortmund, juga daripada hantaran terakhir Brandt.

    Dortmund juga enam mata di depan Leverkusen di tempat ketiga, yang terikat 2-2 di gelanggang sendiri oleh Hoffenheim kelmarin.

    Sementara itu, pemain penyerang Jepun, Daichi Kamada menjaringkan gol Bundesliga pertamanya musim ini untuk memberikan Eintracht Frankfurt kemenangan 3-2 ke atas Borussia Moenchengladbach kelmarin berikutan jaringan gol pada separuh masa kedua. – AFP

    Reaksi Erling Braut Haaland semasa meraikan jaringan gol pembukaan pasukannya dalam perlawanan menentang Greuther Fuerth kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda