Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hajah Wafiqah terima Biasiswa Cendekiawan UTB

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengadakan majlis penuh signifikan dengan mengiktiraf Hajah Wafiqah binti Haji Daim sebagai penerima biasiswa bagi Skim Cendekiawan UTB yang berlangsung di Bangunan Pearl, UTB, hari ini.

    Acara itu bukan sahaja mengetengahkan komitmen universiti terhadap kecemerlangan akademik tetapi juga selaras dengan Wawasan Negara Brunei Darussalam.

    Hadir bagi menyaksikan majlis penandatangan perjanjian rasmi berkenaan ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama dan kakitangan UTB serta jemputan khas.

    Dalam kata alu-aluannya, Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua menyatakan bahawa Hajah Wafiqah merupakan cendekiawan ketiga dari UTB yang telah diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di mana penghormatan itu mengetengahkan keyakinan yang diletakkan dalam keupayaan dan potensi beliau untuk disumbangkan kepada pembangunan akademik serta intelektual negara.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah yang menghadiri majlis penandatanganan perjanjian berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Datin Paduka Profesor Dr Zohrah menyaksikan penandatanganan perjanjian oleh Hajah Wafiqah (dua kanan) dan Dr Sharul Tazrajiman (dua kiri) pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Datin Paduka Profesor Dr Zohrah bergambar ramai bersama Hajah Wafiqah, Awang Abdul Faizul Azim, Dr Shahrul Tazrajiman dan Lim Chui Hua. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Majlis diteruskan dengan penandatanganan perjanjian rasmi antara Hajah Wafiqah bersama saksi iaitu suaminya, Awang Abdul Faizul Azim bin Faudillah dan Pemangku Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Dr Sharul Tazrajiman bin Haji Tajuddin bersama saksi iaitu Lim Chui Hua.

    Hajah Wafiqah telah dianugerahkan peluang untuk melanjutkan pengajian Kedoktoran (PhD) dalam bidang Pemakanan dan Sains Makanan di University of Queensland, Australia bagi tempoh empat tahun.

    Setelah menamatkan pengajian PhD, beliau akan kembali ke UTB sebagai seorang pensyarah di Pusat Pengajian Sains Gunaan dan Matematik.

    Skim berkenaan merupakan program berprestij yang direka untuk mengenal pasti dan menyokong bakat tempatan luar biasa untuk pengajian akademik lanjutan dan penyelidikan.

    Ia menawarkan biasiswa bagi pengajian tinggi termasuk tuisyen, perbelanjaan kehidupan dan sokongan tambahan. Para penerima dipilih berdasarkan merit di mana mereka akan menamatkan pengajian di luar negara dan kembali untuk menyumbang sebagai pemimpin akademik di UTB, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 bagi penduduk yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi.

    Skim berprestij itu bermatlamat untuk memperkasa dan menyokong pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berkeinginan untuk menerajui perubahan positif dan memberikan impak signifikan kepada masyarakat.

    Dengan penganugerahan biasiswa tersebut, UTB berhasrat untuk memupuk sebuah generasi pemimpin baharu yang akan memacu perkembangan masyarakat menerusi ilmu pengetahuan, inovasi dan dedikasi mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda