DUBAI/KUALA LUMPUR, 1 APRIL – Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Muhammad Saleh bin Taher Banten telah meminta negara di seluruh dunia agar menunggu dahulu daripada membuat persediaan akhir mengerjakan haji tahun ini sehingga keadaan wabak COVID-19 pulih.
Dalam temu bual dengan TV al-Ikhbaria, menteri itu turut berkata wang akan dikembalikan kepada mereka yang sudah mendapat visa umrah, tetapi tidak dapat melaksanakannya disebabkan langkah berjaga-jaga yang sedang diambil kerajaan Arab Saudi.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan, Menteri itu turut berkata, Arab Saudi mengambil berat terhadap keselamatan semua jemaah dan pelawat yang kini ditempatkan di hotel pengasingan.
“Kami sudah menyelaras dengan Kementerian Kesihatan untuk melakukan pemeriksaan di hotel-hotel yang menjadi lokasi pengasingan kesihatan untuk memastikan semua khidmat dan penjagaan diberikan kepada jemaah umrah yang terkandas di Mekah,” katanya.
Menurutnya lagi, Arab Saudi meminta orang ramai menunggu dalam usahanya memastikan keselamatan semua umat Islam daripada segenap negara terpelihara, menyarankan agar umat Islam sabar menunggu dan tidak menandatangani sebarang perjanjian (dengan operator haji) sehinggalah negara itu mendapat pandangan yang jelas mengenai wabak tersebut.
Arab Saudi kini menyediakan khidmat perlindungan kepada 1,200 jemaah umrah yang tidak dapat pulang pulang ke negara asal masing-masing.
Sebagai langkah berjaga-jaga membendung penularan COVID-19 di negara itu, Arab Saudi mengambil beberapa langkah termasuk menyekat semua penerbangan keluar dan masuk negara itu selain menggantung sementara urusan umrah.
Menurut data Universiti Johns Hopkins, ada lebih 1,500 kes COVID-19 di negara itu setakat ini dengan mencatat 10 kematian. – Bernama/AP
