GAZA CITY, 3 FEB – Kumpulan penentang Palestin, Hamas kelmarin menyifatkan penubuhan sebuah pakatan melibatkan beberapa negara bagi menyelaraskan tindakan perundangan, diplomatik dan ekonomi terhadap pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel sebagai langkah penting ke arah menamatkan pendudukan rejim Zionis, lapor Agensi Anadolu.
“Kami mengalu-alukan inisiatif Afrika Selatan, Malaysia, Namibia, Colombia, Bolivia, Chile, Senegal, Honduras dan Belize dalam menubuhkan Kumpulan The Hague,” menurut kenyataan Hamas.
Penubuhan kumpulan itu bertujuan menamatkan penjajahan Israel di tanah Palestin serta menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara merdeka.
Hamas menyifatkan inisiatif itu sebagai, “langkah penting di peringkat antarabangsa untuk menamatkan sistem penjajahan yang bersifat perkauman dan fasis.”
“Tiada penghujung kepada sistem penjajahan Zionis tanpa meningkatkan kosnya dan mengasingkannya di peringkat global, sebagaimana yang berlaku terhadap rejim apartheid di Afrika Selatan. Tiada keadilan terhadap jenayah perang Zionis tanpa tindakan tegas di peringkat antarabangsa, seperti yang pernah dilakukan terhadap pemimpin rejim Nazi dan fasis,” kata kenyataan itu lagi.
Hamas turut menyeru negara lain agar menyertai Kumpulan The Hague dalam usaha menegakkan keadilan dan hak asasi manusia yang didakwa dicabuli oleh Israel melalui peperangan bersifat genosid terhadap rakyat Palestin.
Jumaat lalu, sembilan buah negara mengumumkan penubuhan Kumpulan The Hague bagi mempertahankan hak rakyat Palestin. Wakil-wakil negara berkenaan berhimpun di The Hague, Belanda dalam satu mesyuarat yang dianjurkan oleh Progressive International, sebuah organisasi politik antarabangsa.
Pada Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan prosiding terhadap Israel atas dakwaan melanggar Konvensyen Genosid berhubung tindakan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Gaza. Beberapa negara lain kemudian menyertai kes itu termasuk Nicaragua, Colombia, Cuba, Libya, Mexico, Palestin, Sepanyol dan Turkiye. – Bernama/AA