Saturday, September 21, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hamas tuntut penerimaan cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Biden

    GAZA CITY, 12 OGOS – Kumpulan Palestin Hamas kelmarin menuntut pengantara gencatan senjata Gaza membentangkan rancangan untuk melaksanakan cadangan yang disokong Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang telah dipersetujui pada 2 Julai, lapor agensi Anadolu.

    Dalam satu kenyataan, kumpulan itu meminta pengantara ‘membentangkan rancangan untuk melaksanakan apa yang mereka tawarkan kepada gerakan itu dan yang telah dipersetujui pada 2 Julai, berdasarkan cadangan yang disokong Biden dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan memaksa pendudukan (Israel) mematuhinya, bukannya meneruskan lebih banyak pusingan rundingan atau cadangan baharu yang menyediakan perlindungan untuk pencerobohan pendudukan dan memberikannya lebih banyak masa’.

    “Israel meningkatkan pencerobohannya terhadap rakyat kami dan melakukan pembunuhan beramai-ramai, termasuk pembunuhan pemimpin gerakan Ismail Haniyeh, mengesahkan niatnya untuk meneruskan pencerobohan dan tidak mencapai perjanjian gencatan senjata,” tambah Hamas.

    Pengantara Mesir, Qatar dan AS menggesa Israel dan Hamas pada Khamis untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan tanpa penangguhan atau alasan lagi.

    “Tiada lagi masa untuk dibazirkan atau alasan daripada mana-mana pihak untuk penangguhan selanjutnya,” menurut kenyataan bersama tiga hala yang dikeluarkan oleh Amiri Diwan, pejabat emir Qatar.

    Pengantara menyatakan kesediaan ‘untuk membentangkan cadangan perantaraan akhir yang menyelesaikan isu pelaksanaan yang masih berbaki dengan cara yang memenuhi jangkaan semua pihak’.

    Mereka juga menyeru Israel dan Hamas ‘untuk menyambung semula perbincangan mendesak pada 15 Ogos di Doha atau Kaherah untuk menutup semua jurang yang masih ada dan memulakan pelaksanaan perjanjian itu tanpa berlengah lagi’. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda