Oleh: Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Hampir 100 pemain muda menghadiri program pembinaan pasukan anjuran Projek Ikan Pusu (PIP) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Program yang mendapat sokongan Liga Bola Sepak Yakin itu memberi peluang kepada pemain di bawah projek itu untuk membina hubungan dan meningkatkan kemahiran mereka.
Acara yang disertai pemain berusia antara lima hingga enam tahun itu merupakan aktiviti tahunan PIP sejak ia ditubuhkan pada 2001.
Ketua Jurulatih PIP, Haji Omar Haji Jamil berkata, “Kami mahu setiap kanak-kanak berpeluang mempelajari asas bola sepak dan futsal yang diajar oleh jurulatih bertauliah AFC dan FIFA.”
Tambahnya, “PIP memastikan setiap kanak-kanak mempelajari asas bola sepak dan futsal secara sistematik dan saintifik.
“PIP adalah perintis program akar umbi yang paling berjaya di Negara Brunei Darussalam kerana sepanjang tahun, kami secara konsisten berada di tangga teratas dalam kejohanan bola sepak dan futsal remaja di negara ini.
“Matlamat PIP adalah untuk membantu kedudukan negara ini meningkat dalam Kedudukan Dunia FIFA,” katanya.
Beliau menyimpulkan, “Kami percaya kepada konsep PIP untuk menjadikan pasukan Brunei bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak yang aktif bermain, tetapi menjadikan semua orang di Brunei terlibat dalam sebuah keluarga yang membentuk kesatuan pasukan.”