Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir enam juta kanak-kanak terjejas akibat Taufan Yagi

    BANGKOK, 18 SEPT – Kejadian banjir dan tanah susur yang berpunca daripada Taufan Yagi telah menjejaskan hampir enam juta orang kanak-kanak di seluruh Asia Tenggara, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    Taufan Yagi membawa angin kencang dan hujan lebat ke Vietnam, Thailand, Laos dan Myanmar ketika ia melanda rantau ini hampir dua minggu lalu.

    Thailand melaporkan tiga lagi kematian hari ini, menjadikan jumlah kematian di negara itu kepada 18, dengan jumlah keseluruhan 537 kematian kini disahkan di seluruh rantau ini.

    Enam juta orang kanak-kanak telah terjejas oleh Yagi, kata agensi kanak-kanak PBB, UNICEF, dalam satu kenyataan, dengan akses kepada air bersih, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan tempat tinggal semuanya terjejas.

    “Kanak-kanak dan keluarga yang paling terdedah mengalami akibat yang dahsyat daripada kemusnahan yang ditinggalkan oleh Taufan Yagi,” kata June Kunugi, pengarah serantau UNICEF untuk Asia Timur dan Pasifik.

    Di Vietnam, kira-kira tiga juta orang berdepan risiko penyakit akibat kekurangan air minuman yang selamat dan sanitasi, kata UNICEF.

    Hampir 400,000 orang telah dipaksa meninggalkan rumah mereka akibat banjir di Myanmar, menambah penderitaan kepada penduduk yang sudah bergelut dengan lebih tiga tahun perang antara tentera dan kumpulan bersenjata yang menentang pemerintahannya.

    Yagi memburukkan ‘situasi kemanusiaan yang sudah teruk’ di Myanmar, kata UNICEF, dan ‘memaksa komuniti yang sudah terpinggir ke dalam krisis yang lebih mendalam’.

    Lebih 100 mangsa banjir berhampiran ibu negara Naypyidaw memerlukan rawatan hospital aikbat keracunan makanan selepas memakan makanan yang disumbangkan kelmarin, kata junta. – AFP

    Penduduk dibawa ke tempat yang lebih selamat oleh anggota tentera di Pyinmana di wilayah Naypyidaw, Myanmar pada 13 September, berikutan hujan lebat susulan Taufan Yagi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda