KUALA LUMPUR, 20 DIS – Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui ketidakupayaan berdepan dengan corak permainan intensiti tinggi dari pasukan Indonesia adalah faktor utama pasukannya mengalami kekalahan 1-4 kepada musuh tradisi mereka dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2020 malam ini.
Cheng Hoe menegaskan anak buahnya gagal untuk bangkit dalam perlawanan wajib menang untuk layak ke separuh akhir walaupun beraksi dengan baik dalam 15 minit pertama, yang menyaksikan mereka berjaya membuka tirai jaringan menerusi serangan R. Kogileswaran pada minit ke-12.
Selain itu, Cheng Hoe turut memaklumkan pasukannya benar-benar terkesan dengan ketiadaan dua pemain pertahanan tengah, Kapten Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak dan Shahrul Mohd Saad yang disisihkan akibat kecederaan, menyebabkan pasukan itu dibolosi gol mudah dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Singapura.
“Kami tidak cukup kuat dalam situasi satu lawan satu dan kami gagal menahan pemain mereka yang sangat pantas terutama dalam transisi permainan.
Secara keseluruhan, kami kecewa dengan keputusan itu dan kami perlu lupakannya untuk maju ke depan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai strategi ‘menolak’ pemain pertahanan, Dion Cools bermain di bahagian atas pada separuh masa kedua, Cheng Hoe berkata beliau mengambil risiko berkenaan demi melihat pemain kelab berpangkalan di Denmark, FC Midtjylland itu untuk membantu pasukannya menyamakan kedudukan selepas mereka ketinggalan satu gol pada separuh masa kedua.
Malangnya, Cheng Hoe berkata strategi itu ternyata memakan diri apabila gawang pasukannya ‘bocor’ sebanyak dua kali, sekali gus menyebabkan skuad negara gagal mencapai sasaran untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, selepas edisi terakhir pada 2018. – Bernama