Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau Malaya optimis hadapi Thailand

    KUALA LUMPUR, 13 DIS – Pemain tengah pasukan Malaysia, Muhammad Danial Amier Norhisham optimis Malaysia mampu memberikan saingan sengit kepada juara bertahan Thailand pada perlawanan ketiga Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Bangkok, Sabtu ini.

    Muhammad Danial atau lebih dikenali Danial Amier berpandangan tidak mustahil Malaysia mampu mencipta kejutan seperti yang hampir dilakukan pasukan kerdil Timor-Leste ketika tumpas 2-3 di tangan skuad Harimau Malaya pada aksi kedua kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

    Pemain Kuching City FC itu bagaimanapun berkata setiap pemain perlu lebih agresif dan menunjukkan keghairahan untuk melakar kemenangan.

    “Kita tahu akan berdepan pasukan lebih baik, tiada yang mustahil dalam bola sepak. Sama macam Timor-Leste Jadi kita kena bagi 100 peratus untuk perlawanan akan datang.

    “Kita kena lebih agresif dan perlu bersungguh-sungguh untuk bagi yang terbaik bersama pasukan negara, kita perlu belajar dan perbaiki kelemahan supaya dapat bermain lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas aksi Malaysia menentang Timor-Leste di Stadium Nasional, di Kuala Lumpur.

    Pemain Malaysia, Fergus Tierney beraksi ketika menentang pasukan Timor-Leste pada perlawanan kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 11 Disember. – Bernama

    Pada perlawanan baru-baru ini, penyerang naturalisasi Paulo Josue muncul wira pasukan Malaysia apabila meledak dua gol pada babak kedua permainan untuk mengubah kedudukan selepas Timor-Leste yang merupakan pasukan di ranking ke-196 dunia mendahului 2-1 di separuh masa pertama.

    Malaysia membuka tirai jaringan menerusi penyerang Muhammad Syafiq Ahmad sebelum Timor-Leste menjaringkan dua gol dalam tempoh singkat di hujung separuh masa pertama masing-masing satu menerusi Olagar Xavier dan ketua pasukan Joao Pedro pada masa kecederaan.

    Sementara itu, pemain tengah Stuart Wilkin berkata pasukan Malaysia hanya mempunyai satu misi di Bangkok iaitu untuk membawa pulang keputusan positif.

    “Saya fikir kita pergi ke sana (Thailand) dan mencatat keputusan positif. Kami tahu ia bukan tempat yang mudah untuk bermain, jadi satu keputusan yang positif. Seri atau menang adalah keputusan yang kami mahukan tetapi kami tahu ia tidak mudah.

    “Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, kami tahu bahawa Thailand sangat kuat. Jadi kami akan melihat video mulai hari ini (perlawanan semalam) dan bahagian yang boleh kami perbaiki, kami perlu mempunyai strategi permainan untuk pergi ke sana,” kata pemain Sabah FC itu.

    Malaysia, juara edisi 2010 kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, satu mata di depan Thailand dan Singapura yang masing-masing baru bermain satu perlawanan di posisi kedua dan ketiga, diikuti Kemboja keempat (satu mata) dan Timor-Leste tercorot tanpa sebarang mata. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda