Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harris mendahului tipis menjelang hari mengundi

    ISTANBUL/ANKARA, 3 NOV – Menjelang Hari Pengundian di Amerika Syarikat (AS), calon Demokrat Kamala Harris yang menyertai Pilihan Raya Presiden pada akhir Julai, mendahului dengan kelebihan tipis berbanding pencabarnya daripada Republikan, Donald Trump, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut laporan media, Harris memperoleh sokongan sebanyak 48 peratus, manakala Trump berada di belakangnya dengan 47 peratus dalam tinjauan.

    Di negeri-negeri penentu, Trump mendahului dengan margin tipis di Pennsylvania dan Nevada, sementara Harris mengatasi bekas Presiden AS itu di Wisconsin dan Michigan.

    Harris mengekalkan pendahuluan sejak Ogos, kadangkala dengan kelebihan dua atau tiga mata di Michigan, Pennsylvania, dan Wisconsin.

    Walaupun negeri-negeri ini tidak merekodkan keahlian parti, anggaran awal menunjukkan bahawa pengundi wanita Demokrat baharu mungkin melebihi rakan sejawat Republikan mereka, sementara lelaki Republikan baharu mengatasi lelaki Demokrat.

    Bagaimanapun, perlumbaan kini semakin sengit dan Trump kini mendahului tipis di Pennsylvania.

    Kesan pengundi baharu amat ketara di Pennsylvania, di mana lebih 100,000 kertas undi telah disempurnakan.

    Jumlah ini melebihi margin kemenangan Presiden Joe Biden pada 2020 ke atas Trump di negeri itu, menekankan potensi pengaruh peserta baharu ini.

    Pennsylvania penting bagi kedua-dua kempen kerana jumlah undi pilihan rayanya yang besar, menjadikannya penting untuk mencapai 270 undi yang diperlukan untuk kemenangan.

    Ketiga-tiga negeri ini secara sejarahnya merupakan kubu kuat Demokrat yang dimenangi Trump pada 2016, namun Biden merampas semula pada 2020.

    Jika Harris dapat memenangi semula negeri-negeri ini, beliau berpotensi memenangi pilihan raya kali ini. Sejak Harris menjadi calon Demokrat, kedinamikan perlumbaan telah berubah dengan ketara.

    Hari Pengundian – termasuk Pilihan Raya Presiden dan Kongres – dijadualkan pada 5 November. Namun lebih 68 juta orang telah mengundi awal, menurut Makmal Pilihan Raya Universiti Florida. – Bernama

    Kamala Harris semasa berkempen di Charlotte, Carolina Utara kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda