Thursday, April 24, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hayati kreativiti seni Pelukis tempatan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Setiap individu mempunyai kreativiti secara semula jadi. Kreativiti setiap orang adalah berbeza mengikut idea masing-masing.

    Seni banyak dihubungkaitkan dengan personaliti, sosial, ekonomi dan kebudayaan. Justeru, karya seni itu bersifat amat subjektif, dan dalam banyak-banyak seni mungkin hanya sebilangan yang difahami manakala yang lainnya, lebih berdasarkan pemahaman pelukis atau pengkarya itu sendiri.

    Namun sesebuah karya mempunyai sudut pandangan, pemikiran dan perasaan orang seni yang ada kalanya bersifat peribadi kepada dirinya atau orang yang melihatnya dan dalam masa yang sama, karya-karya ini cuba diselami makna di sebaliknya melalui interpretasi sendiri atau pun tafsiran pelukis itu sendiri.

    Dalam usaha untuk mendalami lagi hasil kreativiti bakat-bakat seni tempatan, penulis telah menemu bual tiga orang pelukis muda dan veteran dari Jabatan Muzium Brunei baru-baru ini.

    “Lukisan saya cenderung kepada warisan negara bagi menyedarkan generasi baharu bahawa negara kitani masih ada warisan yang perlu ditampilkan dan dipelihara, ia lebih kepada istiadat Melayu negara ini,” kata seorang pelukis, Awang Osman bin Bakir ketika ditemui pada Pameran Trio Battle yang diadakan di Jabatan Muzium Brunei baru-baru ini.

    Awang Mohd Abdul Wafi berhasrat meng-gunakan medium lain untuk mempertingkatkan teknik lukisan.

    Haji Zainudin bergambar bersama karya lukisan yang dihasilkan.
    Awang Osman bersama karya lukisan yang dihasilkan.
    Antara karya lukisan yang dipamerkan.

    “Kebanyakan lukisan yang dihasilkan lebih membabitkan pemandangan dan warisan adat istiadat Melayu Negara Brunei di mana penghasilan lukisan yang memperlihatkan warisan negara dapat memberi gambaran kepada generasi baharu bahawa warisan seumpama ini ada di negara sendiri,” tekannya.

    Pelukis yang dikenali dengan nama Awang Osman bin Bakir telah mula melibatkan diri dalam bidang seni lukis ini sejak 30 tahun yang lalu dan sepanjang tempoh tersebut, banyak cabaran telah dihadapi dengan penuh sabar dan menjadikan ia sebagai usaha untuk mempertingkatkan diri dalam bidang ini, katanya semasa di temui pada Pameran Trio Battle.

    Menurutnya lagi, “Lukisan yang dihasilkan itu seperti makanan tradisi ambuyat dan juga pembuatan kelupis yang mana kedua-dua lukisan ini menggambarkan warisan negara dan sering diperlihatkan dan diperkenalkan kepada pelancong dan tetamu luar negara yang datang ke negara ini.”

    Manakala seorang lagi pelukis veteran jabatan berkenaan, Haji Zainudin bin Haji Ibrahim yang telah menceburkan diri dalam bidang seni lukis ini sejak tahun 80an pada zaman persekolahan yang mana pada waktu itu, beliau tidak mengambil serius dalam bidang ini tapi minat tersebut berubah setelah mula bekerja di Jabatan Muzium Brunei di Bahagian Pameran.

    Beliau yang lebih menggemari penghasilan koleksi watercolour pada tahun 80an itu beralih kepada plateknife pada tahun 90an memberitahu kedua-dua medium ini mempunyai kualiti yang sama tetapi sebenarnya penggunaan media-media dalam seni lukis ini mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Ia juga bergantung kepada pelukis itu sendiri untuk mengolahnya.

    Ketika berkongsi waktu beliau mula-mula memandang serius seni lukis pada tahun 80an, beliau berkata bahawa pelukis veteran sepertinya hanya belajar sendiri dan melalui pertandingan yang disertai itulah menjadi tempat mereka untuk memajukan diri dan memperbaiki teknik lukisan selain melalui nilai dan kritikan daripada hakim pertandingan.

    Ia berbeza dengan pelukis pada masa sekarang di mana mereka boleh mendapatkan teknik melukis melalui banyak sumber seperti Internet dan sebagainya. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang lukisan ini, lebih 200 buah lukisan telah dihasilkan dan sebahagiannya telah dijual.

    Sementara seorang lagi pelukis muda, Awang Mohd Abdul Wafi bin Haji Mat Salleh juga mempamerkan tiga karya hasil lukisan beliau semasa pameran itu. Lukisan beliau memperlihatkan gambar-gambar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Beliau yang bergiat aktif dalam bidang lukisan ini sering menyertai beberapa pameran dan kemahiran beliau dalam penghasilan sebuah karya lukisan adalah menerusi penggunaan pensel warna.

    “Tapi untuk mempelbagaikan penggunaan dalam medium-medium lain, saya mencuba melukis wajah Baginda Sultan menggunakan acrylic manakala dalam penghasilan lukisan yang melibatkan Baginda semasa regata, saya menggunakan cat air yang mana ia sesuatu yang baru dicuba,” jelasnya.

    Menurut beliau, mencuba media baharu ini merupakan satu cabaran dan apabila berjaya mencuba medium baharu tersebut, ia memberi kepuasan kepada diri sendiri.

    Beliau semasa ditemui turut berkongsi pandangannya dalam penggunaan cat air buat pertama kalinya, yang mana masih banyak yang perlu diperbaiki untuk mendapatkan hasil yang berkualiti dan memuaskan.

    Tambahnya, pelukis-pelukis veteran dan yang berpengalaman ini dijadikan sebagai rujukan di samping bersaing secara sihat dan menjadikan lukisan mereka sebagai tempat untuk melihat teknik-teknik yang digunakan dalam penghasilan kreatif lukisan masing-masing demi memperbaiki lagi mutu hasil karya mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda