Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Heroin bernilai AS$38 juta dirampas

    SOFIA, 13 OGOS – Pihak berkuasa Bulgaria telah merampas kira-kira 436 kilogram heroin di pelabuhan Laut Hitam Burgas, kata pejabat pendakwa raya daerah kelmarin.

    Heroin tersebut disorokkan dalam 434 bungkusan yang tersembunyi di dalam kargo yang diisytiharkan secara rasmi di dalam sebuah treler. Rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai hampir AS$38 juta.

    Treler tersebut telah tiba pada akhir Julai melalui laluan darat dari Kyrgyzstan ke pelabuhan Laut Hitam Georgia di Batumi, sebelum menyeberang ke Burgas.

    Dari Bulgaria, treler tersebut sepatutnya meneruskan perjalanannya ke Alexandroupolis di Greece.

    Treler yang kononnya mengangkut mesin pemasangan kabel, menimbulkan syak wasangka kerana ia berada di pelabuhan itu untuk tempoh yang luar biasa lama, kata ketua unit antidadah, Ivan Sokolov kepada wartawan, sambil menambah pemeriksaan sinar-X membawa kepada penemuan heroin yang disembunyikan itu.

    “Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan tidak ada sesiapa yang didapati terlibat dalam jenayah rentas sempadan ini,” kata pendakwa raya daerah, Georgi Chinev.

    Kesalahan menyeludup dadah boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun di Bulgaria. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda