Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hiasi ruangan dengan rekaan tersendiri

    Oleh Amri HTZ

    Mengisikan sesebuah ruangan yang dirasakan terlalu ‘kosong’ memerlukan kreativiti dan usaha bagi mereka yang mementingkan keindahan.

    Dalam memenuhi impian tersebut, pelbagai jenis perhiasan boleh didapatkan bagi mengisikan ruangan tersebut namun mendapatkan sama seperti yang diinginkan, mungkin sedikit sukar. Salah satu penyelesaian untuk masalah ini adalah dengan cara merekanya sendiri terutamanya jika perhiasan tersebut cukup ringkas dan memiliki peralatan yang bersesuaian.

    Barangan yang diperlukan

    Dalam projek kali ini, perhiasan berupa penyokong (stand) pasu akan direka menggunakan simen dan kayu. Namun, awda terlebih dahulu perlu menyediakan barangan seperti simen, air, bekas untuk mencampurkan simen, tiga batang kayu penyapu, alat penapis, dawai atau beberapa batang dowel berdiameter 7mm, skru, pita pengukur, pen penanda, mesin gerudi, mata gerudi berukuran 7mm, sebatang kayu berukuran 1” x 1” (digunakan untuk menyebatikan campuran simen), pasir, bekas digunakan sebagai acuan rekaan, cat berwarna putih dan pita perekat serta tumbuhan hias pilihan untuk merekanya.

    Langkah pembuatan satu persatu

    Dalam projek kali ini, barangan yang digunakan merupakan sesuatu yang mudah untuk didapati malahan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang menginginkannya. Mulakan dengan menapis pasir yang telah disediakan menggunakan penapis bagi mengasingkan bendasing dan pasir berukuran kasar bagi mendapatkan hasil akhir rekaan yang sempurna.

    Namun sebelum menapisnya, pastikan pasir yang digunakan benar-benar kering kerana jika terdapat kelembapan di dalamnya, proses menapisnya akan menjadi sukar.

    Bahagian hujung (bawah) kaki penyokong pasu akan dicat dengan warna putih.
    Setelah menuangkan simen ke dalam acuan, kaki penyokong pasu bolehlah dimasukkan dan ditetapkan menggunakan pita perekat pada bahagian atas baldi.
    Campurkan simen dalam bekas bagi memudahkan proses menuangkannya ke dalam acuan.
    Kedudukan ketiga-tiga batang kayu yang telah diikatkan dengan dawai.
    Batang kayu yang telah dipotongkan akan dilengkapi dengan skru pada bahagian hujung kayu bagi memudahkan proses mengikatkannya menggunakan dawai.

    Jika lubang pada penapis yang digunakan terlalu halus, pasir yang mempunyai kelembapan tidak akan dapat ditapis disebabkan ia melekat di antara satu dengan lain.

    Untuk itu, dalam memastikannya benar-benar kering, jemur pasir yang tersedia pada sinaran matahari.

    Sementara menunggu pasir mengering, luangkan masa untuk mereka kaki bangku daripada batang penyapu yang disediakan.

    Jika sukar mendapatkan batang berukuran besar, penggunaan batang untuk pencedok pasir atau cangkul juga cukup memadai. Namun jangan gunakan batang kayu yang terlalu besar atau berlainan bentuk terutama bahagian hujung bagi memastikan rekaan seimbang di antara bahagian konkrit bangku dan keseluruhan rekaan.

    Setiap salah satu bahagian hujung kayu akan tetapkan dengan skru bagi memudahkan awda mengikatkan dawai untuk mengekalkan kedudukan dan jarak di antara ketiga-tiga batang kayu. bagi memastikan jarak seimbang, gunakan templat yang telah dilakar pada permukaan kayu sesuai dengan ukuran acuan yang digunakan.
    Selain menggunakan dawai, penggunaan dowel juga boleh dilakukan.

    Namun ini memerlukan awda untuk mengukur sudut pada lubang yang ditebuk dengan tepat bagi jarak ketiga-tiga kayu dan untuk memastikan kayu tersusun dalam keadaan condong.

    Kaki bangku yang telah siap direka akan ditetapkan ke dalam acuan tersedia dengan memastikan bahagian hujungnya tidak mencecah permukaan bawah acuan.

    Pastikan ia berada pada bahagian tengah acuan sesuai dengan ketinggian konkrit yang diperlukan. Selain itu bagi mengekalkannya dalam kedudukan sedemikian, gunakan bantuan pita perekat pada bahagian atas acuan, dalam hal ini acuan berupa baldi digunakan sekali gus memudahkan proses mengekalkan kedudukan kaki bangku pada permukaan atas baldi.

    Setelah pasir mengering, tapis pasir tersebut pada bekas yang disediakan. Jumlah pasir yang digunakan adalah tertakluk kepada ukuran bangku untuk pasu yang diinginkan.

    Bagi memudahkan awda untuk mengukurnya, bayangkan tinggi bahagian atas bangku yang terbuat daripada konkrit menggunakan acuan yang tersedia. Memandangkan nisbah campuran simen dan pasir pada projek ini dua berbanding satu (2:1) iaitu dua bahagian pasir dan satu bahagian simen, pastikan keseluruhan campuran ini akan menghasilkan tinggi bahagian atas bangku yang diperlukan.

    Dalam mencampurkan simen dan pasir, bagi memastikan ia benar-benar sebati dengan memerhatikan warna campuran yang terhasil ketika mencampurkannya menggunakan kayu yang disediakan. Warna campuran perlulah sekata bagi memastikan campuran benar-benar mengeras dan melekat di antara satu dengan lain.

    Setelah mencampurkan simen dan pasir dengan nisbah yang telah diberikan, kini awda hanya perlu menuangkan air secara perlahan-lahan sambil mengaduk campuran menggunakan kayu. Campuran perlulah dalam keadaan tidak cair atau terlalu pekat kerana ini akan menyebabkan konkrit terhasil tidak kukuh.

    Selain melakukan secara manual, jika awda memiliki alat mencampurkan yang dikuasakan mesin gerudi, langkah mengaduk campuran akan menjadi mudah dan amat sebati. Sama seperti langkah sebelumnya, ketika proses mengadukannya, tuang perlahan air ke dalam bekas sehingga campuran cukup ideal. Bagi mengetahuinya, ambil sedikit campuran menggunakan alat untuk melepa dan miringkan alat tersebut untuk melihat sama ada campuran meleleh atau terjatuh. Jika meleleh, ini menandakan air digunakan terlalu banyak.

    Sementara itu jika campuran kekal pada alat, perhatikan beberapa saat untuk lelehan air yang terkeluar daripada campuran tetapi campuran utama kekal melekat pada permukaan alat melepa. Ini menandakan campuran sudah cukup sebati dan langkah seterusnya hanya memerlukan awda untuk memasukkan simen ke dalam acuan dengan kaki bangku yang telah tersedia pada kedudukan.

    Apabila simen telah mengering setelah dibiarkan selama 24 jam, perlahan-lahan ketuk acuan dari bahagian luar menggunakan tukul getah. Awda juga boleh merendam konkrit tersebut menggunakan air selama 24 jam lagi untuk memastikan ia benar-benar mengeras.

    Bagi mendapatkan kaki bangku sesuai dengan permukaan lantai, gunakan meja besar yang terdapat di rumah awda bagi mendapatkan sudut potongan tersebut. Dengan meja dijadikan pengukur sudut potongan, langkah seterusnya membolehkan awda memotong bahagian hujung kayu tersebut.

    Bagi menyesuaikan tema sesebuah ruangan, konkrit dan bahagian hujung kayu akan dicat menggunakan warna putih. Lindungi permukaan kayu yang tidak akan diwarnakan menggunakan pita perekat.

    Selain itu bagi memastikan permukaan kayu yang tidak dicat dilindungi, sapukan varnis lut sinar pada permukaannya. Setelah cat mengering, kini rekaan tersendiri tersebut boleh diletakkan pada ruangan yang dirasakan sesuai bagi menyerikannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda