Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidangan sihat asas kepada kualiti kesihatan

    Oleh Lenna N.B.

     

    DALAM kehidupan seharian, sering kali kita gunakan bahan-bahan penambah rasa dalam masakan seperti garam, gula, ajinomoto dan sebagainya, yang berperanan untuk menambah rasa lazat pada hidangan secara sempurna.

    Namun, penggunaan bahan-bahan tersebut secara berlebihan juga boleh memberikan kesan kepada kesihatan, yang hanya akan berlaku setelah beberapa tahun atau pada ketika kita sudah berusia lanjut.

    Atas kesedaran itu, Dayang Filah Amin, 30 mula mengamalkan rutin dengan tidak menggunakan bahan-bahan penambah perasa dalam masakan melainkan bahan-bahan semulajadi dari sayuran dan buah-buahan.

    Pada baru-baru ini, Dayang Filah telah mengelolakan aktiviti demontrasi masakan di Pusa Membeli-Belah Kompleks Mabohai yang dihadiri oleh kira-kira 10 orang peserta penonton sebagai perkongsian pengetahuan dalam bidang masakan dan amalan pemakanan secara sihat.

    “Saya ingin mengongsikan bagaimana cara kita memasak atau menghasilkan makanan seharian yang lebih sihat daripada yang biasanya kita masak sebelum ini. Elakkan daripada pengunaan garam sebaik mungkin, makanan dalam tin dan sebagainya. Paling penting, saya ingin memberikan pendedahan mengenai bagaimana bahan-bahan semulajadi boleh menyedapkan dan melazatkan masakan walaupun tanpa garam, dan lain-lain bahan perasa,” ucap Dayang Filah yang ditemui oleh wartawan Media Permata baru-baru ini.

    Orang ramai berpeluang untuk menikmati sendiri jus buatan Dayang Filah.
    Orang ramai berpeluang untuk menikmati sendiri jus buatan Dayang Filah.

    Orang ramai berpeluang untuk menikmati sendiri jus buatan Dayang Filah.
    Orang ramai berpeluang untuk menikmati sendiri jus buatan Dayang Filah.
    Sekitar aktiviti demontrasi masakan makanan sihat yang mendapat respon memberangsangkan daripada orang awam.
    Sekitar aktiviti demontrasi masakan makanan sihat yang mendapat respon memberangsangkan daripada orang awam.
    Dayang Filah ketika ditemuramah oleh wartawan Media Permata baru-baru ini.
    Dayang Filah ketika ditemuramah oleh wartawan Media Permata baru-baru ini.

    Hentikan diet dan makan untuk sihat

    Aktiviti demontrasi masakan telah dikelolakan pada Ahad lalu bermula dari jam 11:30 pagi hingga 12 tengahari, dengan tema ‘Skip The Diet, Eat For Heal’ atau dalam bahasa Melayunya, hentikan diet dan makan untuk sihat.

    Kos hidangan makanan pula adalah sangat berpatutan, menunjukkan bagaimana kita mampu untuk menghasilkan hidangan yang sihat dengan kos yang rendah. Konsep hidangan agak mudah namun ia adalah pilihan yang menyihatkan.

    “Mulakan hari anda dengan buah-buahan dan sayur-sayuran segar kerana ia boleh mengubah imunisasi dalam badan dan kegiatan harian yang lebih segar,” ujarnya ringkas.

    Sebanyak empat jenis hidangan telah di demontrasikan oleh Dayang Filah, iaitu Kek Pan Telur yang merangkumi bahan-bahan seperti telur, isi ayam, bawang putih dan minyak bawang, hidangan minuman untuk sarapan pagi, gabungan susu, madu dan kurma, hidangan tengahari dengan nasi goreng bawang, cendawan, telur masin serta lada benggala hijau bakar, dan minuman jus yang menggabungkan buah oren, mangga, kasturi dan bijan hitam.

    “Setiap hidangan yang diambil secara harian adalah penting. Ini bukan soal menahan lapar tetapi berkenaan dengan kepentingan menjaga setiap hidangan kita agar mengandungi bahan-bahan yang sihat, bukan segera, atau hidangan dalam restoran yang kita tidak pasti kandungan bahan-bahannya. Oleh itu, tema demonstrasi masakan hari ini adalah ‘hentikan diet dan makan untuk sihat’ iaitu kemampuan kita menggunakan bahan-bahan segar sebaik mungkin dalam penyediaan makanan harian,” jelas Dayang Filah.

    Menurutnya, beliau ingin menunjukkan bagaimana perasa-perasa yang digunapakai selama ini dalam masakan boleh didapati melalui bahan-bahan semulajadi seperti rasa manis yang boleh didapati dari bawang, madu atau buah, dan sebagainya.

    Mula timbul kesedaran kepentingan kesihatan

    Mengimbas semula detik awal permulaan Dayang Filah ketika mengamalkan masakan hidangan sihat ini adalah dua tahun lalu apabila ayah tercinta tiba-tiba jatuh sakit.

    Dayang Filah ketika sedang melakukan demontrasi masakan di Pusat Membeli-belah Mabohai baru-baru ini.
    Dayang Filah ketika sedang melakukan demontrasi masakan di Pusat Membeli-belah Mabohai baru-baru ini.

    Buah kurma yang dipotong untuk dimasukkan ke dalam hidangan minuman.
    Buah kurma yang dipotong untuk dimasukkan ke dalam hidangan minuman.

    Penggunaan madu yang boleh memberikan kemanisan dalam masakan.
    Penggunaan madu yang boleh memberikan kemanisan dalam masakan.
    Dayang Filah menunjukkan proses pembuatan minuman.
    Dayang Filah menunjukkan proses pembuatan minuman.

    Sejak itu, beliau menyedari bahawa pengambilan makanan setiap hari memberi kesan kepada kesihatan tidak kira usia.

    Dayang Filah juga pernah melihat orang muda yang sudah mempunyai penyakit, walaupun fizikal badannya nampak sihat.

    Keadaan sekitarnya telah menyebabkannya begitu menjaga pemakanan, dan bermula dari itu, dia dan ayahnya, bersama-sama mula memasak hidangan-hidangan yang lebih sihat dari sebelumnya.

    “Sebenarnya saya sudah mula minat memasak sejak usia 14 tahun lagi, meluangkan waktu memasak bersama ayah. Kami mengembara dalam dan luar negara, berkongsi cerita daripada rakan-rakan, menjadi inspirasi kepada setiap hidangan yang kami masak. Namun, kaedah dan cara penggunaan bahan-bahan masakan mula berubah dua tahun lalu, daripada bahan perasa yang segera berubah menjadi bahan perasa yang semulajadi dan segar. Rutin dan tabiat makanan kami berubah kepada yang lebih sihat.”

    Lebih berdisiplin

    Sejak pengamalan hidangan sihat kira-kira dua tahun kebelakangan ini, Dayang Filah merasakan perubahan dalam hidupnya. Penjagaan makanan harian semakin dilakukan secara lebih berdisiplin dan terjaga, memperkembangkan cara berfikir dan tubuh badan terasa lebih sihat daripada sebelumnya.

    Antara bahan-bahan segar yang digunakan oleh Dayang Filah dalam masakan.
    Antara bahan-bahan segar yang digunakan oleh Dayang Filah dalam masakan.
    Nasi Goreng yang daripada gabungan bawang, cendawan, telur masin, serta lada banggala hijau bakar.
    Nasi Goreng yang daripada gabungan bawang, cendawan, telur masin, serta lada banggala hijau bakar.
    Kek Pan Telur yang mengabungkan bahan-bahan telur, isi ayam, bawang putih dan minyak bawang.
    Kek Pan Telur yang mengabungkan bahan-bahan telur, isi ayam, bawang putih dan minyak bawang.

    “Saya pernah menyaksikan seorang rakan yang mengalami masalah saluran jantung yang tersekat kerana lemak berkumpul dalam badan. Walhal dia tidak gemuk.

    “Melihat keadaan itu, menjadikan saya lebih berhati-hati dalam setiap pengambilan makanan saya. Begitu juga dari pengalaman ayah saya sendiri. Kami tidak lagi mengambil makanan-makanan yang sudah diproses terutama makanan tin dan sebagainya.”

    Mempromosi hidangan sihat

    Dayang Filah Amin dalam mempromosikan hidangan atau permakanan sihat kepada orang awam telah mengemaskinikan aktiviti seterusnya melalui media sosial.

    Beliau merancang untuk bekerjasama dengan pembekal sayur dan buah-buahan tempatan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai manfaat bahan-bahan segar dan semulajadi.

    Beliau sebelum ini pernah menyertai aktiviti eko-kampung apabila menyertai pertandingan memasak dengan bahan-bahan segar dan semulajadi sekali gus menerokai kreativiti di industri pemakanan.

    Kejayaan aktiviti tersebut turut mendorongnya untuk merancang kerjasama di masa akan datang dengan motif yang sama, iaitu pengamalan pengambilan makanan dari bahan-bahan semulajadi.

    “Kita tidak perlu diet menahan lapar dan sebagainya, tetapi makanlah untuk sihat,” ucap Dayang Filah di hujung temuramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda