Oleh Salawati Haji Yahya –
Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam ucaptama telah mengimbas kembali ketika membentangkan kertas kerja utama di Majlis Muzakarah Sultan Nazrin Mu’izzuddin Shah, di Perak Darul Ridzuan pada tahun 2018.
Dalam ucaptama secara rakaman baru-baru ini pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Harussani Haji Zakaria dalam Pembangunan Ummah di Dewan Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, Malaysia, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, sebaik sahaja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan berangkat naik ke atas pentas, Baginda kelihatan tidak terus menuju ke kerusi yang disediakan, tetapi menyimpang ke arah Mufti Negeri Perak pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Harussani bin Haji Zakaria.
Perbuatan yang dilakukan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang terus memeluk Allahyarham adalah suatu pemandangan yang amat menggetarkan dan perbuatan Baginda itu telah disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin sendiri.
Melihat keadaan itu, Yang Berhormat Pehin segera teringat kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Ada dua: Jika dua-dua itu bagus (baik), nescaya bagus dan baiklah umat. Sebaliknya jika dua-dua itu tidak bagus (rosak), nescaya rosaklah umat. (Siapakah mereka?). Itulah ulama dan umara.”
Melihat umara (raja) berpelukan dengan ulama, tegas Yang Berhormat Pehin, ia adalah suatu tanda bahawa di sini ada kebaikan berupa keberkatan dan rahmat untuk para penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan berdasarkan maksud hadis itu.
Bukti lembaran sejarah
Pada zaman keemasan Khalifah Abu Bakar Asy-Syiddiq, jelas Yang Berhormat Pehin, Khalifah Umar bin Al-Khatthab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Thalib RA adalah berstatus umara. Mereka sentiasa berdampingan dan dibantu oleh para sahabat lain yang bertaraf ulama.
Ini telah menjadikan umat dan negara pada masa itu sentiasa beroleh rahmat berupa pertolongan dan pemeliharaan Allah SWT.
Kemudian, Yang Berhormat Pehin mengongsikan dari 13 kurun yang lampau selepas itu, yang mana khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan sifat warak dan zuhud, suka berdamping dan didampingi oleh para ulama.
“Beliau diriwayatkan mempunyai sehingga 10 orang penasihat dari kalangan ulama dan beliau juga merupakan seorang khalifah yang sangat adil dan takut untuk membuat kesalahan,” jelasnya.
Bukan setakat itu, dengan ketakwaannya dan kecenderungan beliau bergaul dan meminta nasihat daripada para ulama juga telah menyebabkan berlaku kesan luar biasa kepada negara dan rakyat jelata.
Negara makmur dan rakyat pula rata-rata hidup senang, sehingga zakat yang diagihkan tiada siapa pun yang mahu menerimanya, dan negara benar-benar harmoni tanpa jenayah dan tanpa sebarang pertelagahan dan pergaduhan.
Malah, haiwan-haiwan juga didapati berkelakuan aneh, sehingga mendorong orang ramai mendatangi khalifah memberitahu perkara itu setelah menyaksikan satu kejadian luar biasa di mana seekor serigala berjalan beriringan dengan kambing dan bukan memakan kambing tersebut.
Ketika ditanya kepada Amirul Mukminin Khalifah Umar tentang apakah rahsia di sebalik kejadian ini? Maka beliau telah menjelaskan (maksudnya): “(Rahsianya jika kamu hendak tahu), kerana aku telah membaikkan hubunganku dengan Tuhanku, maka Allah pun membaikkan hubungan serigala dengan kambing.”
Yang Berhormat Pehin menjelaskan, “Inilah rahsia itu. Maka negara, bahkan seluruh jajahan takluk rantau dan pesisir yang diperintah oleh Umar ketika itu menjadi negara yang makmur dan bahkan binatang-binatang buas juga sampai hilang selera untuk memakan binatang-binatang ternakan.”
Ulama dianggap batu penghalang
Apabila para umara mengisytiharkan permusuhan terhadap ulama, perkara buruk bakal terjadi. Antara bentuk permusuhan itu, jelasnya ialah menganggap ulama menjadi batu penghalang kepada kemahuan umara yang menyalahi hukum agama.
“Subhanallah, inilah yang menyebabkan sebahagian kerajaan Islam terkubur satu demi satu dan para umara yang zalim kehilangan takhta, lebih-lebih lagi jika yang dizalimi itu adalah ulama,” tegasnya.
Beliau dalam ucaptama turut mengongsikan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Daging ulama itu adalah beracun, dan makna beracun adalah satu peringatan supaya jangan menzalimi ulama, jangan menyakiti ulama.
“Menzalimi atau menyakiti ulama adalah umpama memakan daging beracun, dan siapa yang makan daging beracun, maka tunggulah kebinasaannya,” tegas Yang Berhormat Pehin lagi.
Jadikan ulama sebagai bithanah
Beliau seterusnya menyatakan rasa gembiranya dan menjelaskan bahawa raja-raja kita tidak ada yang menzalimi dan menyakiti ulama.
“Raja Negeri Perak Darul Ridzuan, raja Brunei Darussalam dan semua raja-raja di semenanjung tidak ada yang menyakiti ulama, malah semua mereka menjadikan para ulama sebagai bithanah (pendamping rapat) kepada baginda-baginda,” jelasnya.
“Inilah pemikiran para ulama, khasnya mufti-mufti, untuk selama-lamanya menjaga hubungan baik dan mesra dengan sultan dan raja, bertaat setia menjunjung titah perintah dan apabila perlu, akan menyembahkan nasihat-nasihat keagamaan yang berguna untuk istana dan pembangunan ummah,” tegasnya.
Pengisian seminar
Seminar Antarabangsa Pemikiran Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Harussani Haji Zakaria dalam Pembangunan Ummah yang diadakan selama dua hari bermula pada 3 Oktober lalu merupakan anjuran Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial Universiti Sultan Azlan Shah, Perak, Malaysia.
Di samping Yang Berhormat Pehin sebagai pembentang ucaptama, beberapa kertas kerja juga disampaikan, antaranya oleh Sahibussamahah Mufti Negeri Perak Darul Redzuan, Ketua Hakim Syar’ie Negeri Perak Darul Ridzuan dan beberapa ilmuan dan pensyarah dari beberapa institusi pengajian tinggi dan universiti di Malaysia.
Seminar telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Malaysia, Yang Berhormat Senator Dato Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.