Saturday, January 18, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hospital Eropah kehabisan ubat pesakit ICU

    LONDON, 2 APRIL – Sembilan hospital universiti terkenal di Eropah mengingatkan mereka akan kehabisan ubat penting yang diperlukan oleh pesakit COVID-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) dalam masa kurang dua minggu kerana mereka semakin dibebani oleh pandemik itu.

    Gabungan Hospital Universiti Eropah berkata tanpa negara yang bekerjasama untuk memastikan bekalan ubat, doktor dan jururawat mungkin tidak dapat membekalkan jagaan rapi yang mencukupi untuk mereka yang sakit tenat dijangkiti koronavirus.

    Dalam satu kenyataan yang disiarkan pada minggu ini dan dihantar kepada kerajaan negara, kumpulan itu berkata selain keperluan peralatan perlindungan dan ventilator, ‘keperluan terdesak sekarang adalah ubat yang diperlukan untuk pesakit rawatan rapi.” Mereka menulis bekalan ubat penenang otot, sedatif dan ubat penghilang kesakitan mungkin kehabisan dalam masa dua hari di hospital yang paling teruk terjejas, dan dalam dua minggu untuk hospital lain.

    Kekurangan telah mendorong beberapa hospital membeli ubat alternatif atau mencuba dos lain ke atas pesakit.

    Kumpulan hospital mendapati beberapa kerajaan telah bertindak terhadap kekurangan dengan enggan mengeksport ubat dari tempat lain, dan mengingatkan ia akan menghalang ubat daripada sampai ke hospital yang amat terdesak.

    “Tidak ada satu-satu negara di Eropah yang mempunyai kilang pengeluaran untuk membekalkan kesemua ubat yang diperlukan,” tulis mereka. “Tindakan bersepadu Eropah adalah amat penting.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda