Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ICJ perintahkan Israel tangani kebuluran di Gaza

    THE HAGUE, 29 MAC – Panel hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebulat suara memerintahkan Israel untuk mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menjamin penghantaran bekalan makanan asas kepada warga Palestin yang dikepung di Gaza.

    ICJ mengeluarkan perintah itu kelmarin, memandangkan kehidupan penduduk di sana yang semakin teruk dengan kebuluran dan kelaparan merebak dengan pantas berikutan sekatan Israel, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin, WAFA.

    Para hakim menekankan warga Palestin di Gaza tidak lagi berada dalam risiko kebuluran tetapi sudah mengalaminya dan kebuluran di sana adalah serius.

    Menurut perintah ICJ, kira-kira 31 individu termasuk 27 kanak-kanak menemui ajal kerana malnutrisi dan penyahhidratan se-perti dilaporkan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

    Perintah mahkamah yang mengikat dari segi undang-undang itu mengarahkan Israel untuk mengambil kesemua langkah yang perlu dan berkesan bagi memastikan tiada halangan dalam penyediaan bantuan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan ubat-ubatan. Langkah ini perlu dilakukan dengan kerjasama penuh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Biarpun mempunyai kuasa, ICJ kekurangan mekanisme untuk menguatkuasakan perintahnya.

    Langkah baharu ini hasil daripada satu permintaan Afrika Selatan, yang membawa satu kes yang mendakwa Israel melakukan genosid di Gaza. Pada Januari, ICJ telah memerintahkan Israel supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang membawa kepada perbuatan genosid di bawah Konvensyen Genosid dan memastikan tenteranya tidak melakukan genosid ke atas warga Palestin di Gaza. – Bernama

    Sebuah pesawat menggugurkan bantuan kemanusiaan di utara Semenanjung Gaza dari selatan Israel pada 28 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda