Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbas kembali cara bermain congkak, simban

    Oleh Nurdiyanah R.

    Permainan tradisional yang dianggap sebagai salah satu cabang budaya merupakan gaya hidup, adat resam, nilai dan mentaliti sesuatu masyarakat dahulu yang diwarisi sehingga ke hari ini sebelum wujudnya permainan lebih moden.

    Melaluinya, kita dapat mengenali dan menilai kehidupan masyarakat yang mempratikkannya. Namun kini senario itu amat berbeza, dengan kewujudan pelbagai kecanggihan gajet sehingga permainan tradisional ini seakan-akan semakin dipinggirkan.

    Dalam pada itu, usaha memberi kesedaran terhadap permainan tradisi Brunei yang pada masa ini sudah jarang dimainkan, Jabatan Muzium-muzium Brunei telah mengadakan segmen Kenali Permainan Tradisi di platform media sosial jabatan berkenaan, baru-baru ini.

    Menerusi segmen bersempena dengan Festival Disember Brunei (BDF) tahun ini, beberapa aktiviti yang dibahagikan mengikut segmen dan dilaksanakan secara dalam talian. Antara permainan tradisi yang telah diketengahkan terbuka kepada orang ramai itu ialah permainan congkak dan simban yang mana telah disampaikan oleh Pegawai Perkhidmatan Pelajaran, Haji Mahrin bin Haji Abas.

    Kutipan ‘buah’ terbanyak jadi pemenang

    Salah satu permainan tradisi yang masih lagi dikenali hingga ke hari ini ialah congkak. Mungkin sesetengah lapisan masyarakat sudah tidak asing lagi dengan permainan ini, namun tidak dinafikan juga terdapat juga sesetengah peringkat umur terutamanya generasi muda kurang memahami atau mungkin tidak mengetahui apa itu congkak dan bagaimana cara memainkannya.

    Kebiasaannya, permainan tradisi ini dimainkan oleh dua orang pemain dan kedua-duanya akan duduk berlawanan secara berhadapan. Secara asasnya, beberapa peraturan yang harus dipatuhi oleh para pemain sebelum memulakan permainan ialah menentukan arah yang mana jika si pemain bersetuju untuk memilih arah ke kiri, maka seluruh permainannya haruslah menghala ke kiri dan begitu juga sebaliknya bagi pihak lawan di mana dengan sendiri akan menghala permainannya ke kanan.

    Permainan tradisional congkak ini dimainkan oleh dua orang pemain dan kedua-duanya akan duduk berlawanan secara berhadapan.

    Pada permulaan permainan, boleh dijalankan sama ada dengan memulakan secara serentak atau dengan cara ‘bercus’ iaitu perlawanan tangan memaparkan simbol gunting, kertas dan batu.

    Bermain secara serentak bermaksud kedua-dua pemain akan memulakan mengambil buah di mana-mana lubang kecil di barisan yang ada di hadapan mereka. Manakala permainan yang dimulakan dengan teknik ‘bercus’ pula akan memberi keutamaan kepada si pemain yang menang ‘bercus’ untuk memulakan permainan. Perlu diingat juga, barisan lubang kecil yang ada di hadapan setiap pemain adalah kepunyaan pemain itu sendiri dan dia tidak dibenarkan untuk memasuki barisan di sebelahnya.

    Dalam situasi permainan berkenaan, kedua-dua pemain akan memilih sendiri buah pada lubang yang menjadi pilihan mereka dan setiap mereka berlumba-lumba untuk memenuhi ‘gadung’ masing-masing. Permainan akan berterusan sehingga salah seorang daripada mereka terhenti pada lubang yang kosong. Sekiranya mereka terhenti pada lubang kosong yang terletak pada barisan yang menjadi hak milik si pemain, maka si pemain berhak mengambil ‘buah’ yang berada bertentangan dengan lubang kosong tersebut dan memasukkannya ke dalam ‘gadung’nya.

    Situasi ini diistilahkan sebagai ‘utak’. Tetapi sebaliknya jika mereka terhenti pada lubang kosong pihak lawan, si pemain itu sendiri tidak berhak untuk mengambil jumlah ‘buah’ yang bertentangan dengan lubang kosong tersebut dan ia disebut sebagai ‘mati’.

    Seterusnya lawannya akan memulakan lagi permainan dengan memilih lubang pada barisan yang menjadi haknya dan jika permainan tersebut ‘mati’ maka pihak lawan pula akan mengambil alih permainan dan begitulah seterusnya sehingga ‘buah’ yang ada di lubang-lubang kecil itu habis atau pun hanya tinggal satu atau dua biji.

    Oleh yang demikian, bagi mencari pemenang di akhir permainan, hasil kutipan ‘buah’ yang dimiliki dalam ‘gadung’ setiap pemain itu hendaklah dimasukkan ke dalam lubang-lubang kecil di hadapan mereka seperti pada asalnya iaitu lapan biji setiap lubang kecil. Jika ‘buah’ tersebut melebihi daripada kiraan sepatutnya bermakna pemain tersebut memenangi perlawanan itu. Namun jika ‘buah’ tidak mencukupi untuk memenuhi lubang-lubang kecil miliknya itu maka dikira kalah.

    Lambungkan batu ke udara

    Permainan simban biasanya dimainkan oleh kanak-kanak sama ada secara individu atau beramai-ramai dengan duduk beralaskan tikar. Jika pemain lebih daripada seorang maka ianya dimulakan dengan kaedah mencabut undi terlebih dahulu secara bergilir.

    Cara menentukan undian ialah bermula dengan melambungkan lima biji buah simban dari telapak tangan, dan disambut dengan menggunakan belakang tangan, dan kemudiannya di lambung sekali lagi dan akhirnya disambut kembali di telapak tangan.

    Siapa yang dapat menangkap ke semua buah-buah berkenaan, dia akan menjadi pemain pertama, jika berjaya menyambut empat buah akan menjadi pemain kedua dan seterusnya.

    Manakala cara permainan tradisi ini ialah dengan menaburkan buah-buah simban ke atas lantai. Sebiji buah akan dilambungkan ke udara dan dalam masa yang sama sebiji buah di atas lantai harus dikutip. Perbuatan ini akan berterusan sehingga semua buah di atas lantai semua dikutip.

    Jangan biarkan ia pupus

    Seiring berkembangnya teknologi, penyampaian hiburan turut mengalami perubahan yang ketara termasuk bentuk permainan tradisional ini.

    Sehubungan dengan berlakunya kemodenan ini, sesetengah generasi muda kini yang kelihatan lebih seronok mengikutinya sehingga ada yang kurang mengenali akan beberapa jenis permainan tradisional yang telah diwarisi bagi mengisi detik-detik terindah bersama kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

    Setentunya sayang seribu kali sayang, jika permainan tradisional ini terus dilupakan. Alangkah indahnya jika generasi muda di negara ini mengenali kesemua permainan khazanah yang berharga ini.

    Namun apa yang pasti keseronokan permainan itu hanyalah untuk mengisi masa lapang selain mengeratkan jalinan kekeluargaan dan persahabatan.

    Oleh yang demikian dalam kita meniti arus perkembangan zaman yang semakin moden, janganlah kita lupa akan keindahan warisan budaya Melayu kita, untuk itu bersamalah kita bersatu memartabatkan dan memelihara sejarah serta warisan yang dimiliki oleh masyarakat Negara Brunei Darussalam agar ianya tidak pupus ditenggelam arus peredaran zaman.

    Perlu diketahui juga, salah satu peranan terpenting yang dimainkan oleh permainan tradisional ialah menimbulkan rasa kesamaan yang diperlukan dan sifat bekerjasama kepada para pemainnya untuk meraih sesuatu kemenangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda