Aksi tangkas dan lincah penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika menjalani penggambaran muzik video (MV) single terbaharunya berjudul Magis mencuri perhatian peminat.
Mana tidaknya, aksi Siti, 45, yang lincah dan tangkas dalam MV tersebut sudah cukup membuatkan peminat terpaku dengan kebolehannya melakonkan babak aksi.
Rupa-rupanya, watak sebagai Srikandi yang dipegang penyanyi berkenaan dalam MV tersebut sebenarnya merupakan impian Siti sejak sekian lama.
Malah Siti juga berpuas hati apabila hasil kerja semua pihak terlibat dapat merealisasikan bayangan dimahukan.
“Terima kasih semua yang terlibat menjadikan MV ini lebih menarik dan mengikut kehendak dan impian saya.
“Memang impian saya untuk melakonkan aksi srikandi,” katanya.
Siti berkongsi keterujaannya itu menerusi Instagram miliknya berserta rakaman pendek ketika penggambaran sedang berjalan.
Apa lebih menarik, MV itu turut menampilkan pelakon Fadlan Hazim.
Dalam perkongsian tersebut, Siti dilihat memakai busana ala pahlawan wanita dilihat cukup tangkas dalam melakukan gerakan seni mempertahankan diri sambil memegang busur panah. – Agensi