Thursday, April 24, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Imunisasi untuk semua mampu dicapai’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Di Negara Brunei Darussalam, kesemua rakyat dan penduduk di menerima perkhidmatan vaksin daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan.

    Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada masa ini merangkumi 12 jenis vaksin untuk penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin. Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah mencapai dan mengekalkan kadar liputan imunisasi di tahap yang melebihi 95 peratus liputan setiap tahun.

    Pengenalan vaksin Pertussis bagi ibu mengandung pada November 2024 dan pengenalan Vaksin Konjugat Pneumokokal (PCV) untuk anak damit dalam Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan pada Februari 2025, telah menyerlahkan komitmen Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan yang baik bagi penduduk negara ini.

    “Pencapaian Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan juga telah berjaya menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu negara yang diisytiharkan bebas dari penyakit Polio, Measles dan Rubella, sejak dua dekad lalu, ” menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Minggu Imunisasi Sedunia 2025.

    “Walau bagaimanapun, Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada ancaman kesihatan global yang berterusan dan semakin meningkat, sepertimana yang sedang berlaku di negara-negara lain pada masa ini, seperti polio dan ccmpak (measles), yang telah menunjukkan peningkatan mendadak dalam wabak, akibat gangguan terhadap program imunisasi dan penurunan kadar liputan imunisasi di sesetengah kawasan di seluruh dunia,” tambah beliau.

    Oleh itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, menekankan bahawa masyarakat tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian imunisasi kebangsaan negara kerana ia boleh membawa kepada kerentanan.

    Minggu Imunisasi Sedunia 2025

    Negara Brunei Darussalam sekali lagi bersama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang lain, menyambut Minggu Imunisasi Sedunia 2025 bermula hari ini, 24 hingga 30 April.
    Minggu Imunisasi Sedunia disambut setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan vaksin dalam melindungi individu dan komuniti daripada penyakit berjangkit yang boleh dicegah.

    Bagi 2025, Minggu Imunisasi Sedunia mengetengahkan tema Immunisation for All is Humanly Possible, di mana ia memberi peringatan mengenai kemajuan vaksin yang merupakan salah satu pencapaian terbesar dalam sejarah.

    Sepanjang lima puluh tahun yang lalu, vaksin telah menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa iaitu bersamaan dengan 6 nyawa seminit, setiap hari, selama lima dekad. Dalam tempoh lima puluh tahun itu, imunisasi telah menyumbang kepada 40 peratus peningkatan dalam kadar kelangsungan hidup anak damit (infant survival rate).

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa masa depan imunisasi bukan sahaja melibatkan jutaan kanak-kanak yang belum menerima walaupun satu suntikan tetapi juga berperanan untuk melindungi keluarga dan masyarakat.

    “Vaksin untuk seseorang juga dapat memastikan orang lain akan dilindungi daripada penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti penyakit Influenza, Tetanus, jangkitan Pneumokokus dan jangkitan HPV (human papilloma virus) atau virus papilloma manusia.”

    Beliau menekankan lagi bahawa sempena Minggu Imunisasi Sedunia 2025, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan penduduk di negara ini mengenai kepentingan vaksin dalam melindungi nyawa, bukan sahaja untuk seseorang individu tetapi juga untuk semua orang di sekeliling.

    Kerajaan Negara Brunei Darussalam terus komited menyediakan perkhidmatan vaksin bagi penduduk negara ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda