Oleh Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) Negara Brunei Darussalam bagi suku keempat 2019, menunjukkan peningkatan sebanyak 9.8 peratus tahun-ke-tahun kepada 95.3 berbanding suku keempat 2018 dan penurunan sebanyak 0.2 peratus berbanding suku ketiga 2019.
Indeks itu diterbitkan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) di mana ia dihasilkan dengan data-data yang diperoleh dari bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMBD, di sini, hari ini.
Dalam kenyataan itu, AMBD mengatakan berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman yang diperoleh dari bank-bank, sebanyak 111 transaksi pembelian hartanah kediaman telah dicatatkan pada suku keempat 2019 di mana kebanyakan daripada transaksi berkenaan adalah bagi pembelian rumah detached iaitu 45.05 peratus, diikuti oleh rumah berkembar atau semi-detached iaitu 24.32 peratus, rumah teres iaitu 18.92 peratus dan pangsapuri iaitu 11.71 peratus.
Tiada transaksi untuk tanah bagi suku keempat 2019.
Manakala itu, harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman pada tempoh suku keempat 2019 ialah $258,000.
Sementara itu, harga median bagi pembelian rumah detached ialah $285,000, bagi rumah berkembar atau semi-detached ialah $271,000, bagi rumah teres ialah $225,000 dan bagi pangsapuri ialah $223,000.
Harga median secara keseluruhan bagi pembelian hartanah kediaman pada tempoh suku keempat 2019 adalah lebih tinggi berbanding dengan suku keempat 2018 di mana peningkatan sebanyak 2.4 peratus telah dicatatkan.
Jika dibandingkan dengan suku ketiga 2019, harga median bagi pembelian hartanah kediaman bagi suku keempat telah menurun sebanyak 0.8 peratus.
AMBD dalam kenyataannya itu, ingin memaklumkan bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung kepada indeks dan statistik ini dalam menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman adalah berbeza tertakluk kepada, antara lain, lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini, mereka boleh mendapatkannya di laman sesawang AMBD (www.ambd.gov.bn). Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan daripada masa ke masa melalui akaun Instagram AMBD.