NEW DELHI, 31 MEI – India tidak akan membiarkan maruahnya tercalar dalam perbalahan baharu yang membabitkan sempadan negara itu dengan China.
Menteri Pertahanannya, Rajnath Singh, bagaimanapun menegaskan India bertekad menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi perbincangan antara kedua-dua negara.
Katanya, India juga menolak tawaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian terbabit.
“Saya ingin memberi jaminan tidak akan membenarkan maruah India ‘terjejas’ dalam sebarang keadaan.
“Walau apa pun situasi tegang dengan China, ia pernah berlaku dahulu dan India akan pastikan ketegangan tidak akan memuncak. “Perbincangan sedang berlangsung antara kedua-dua negara sama ada di peringkat ketenteraan mahupun diplomatik,” katanya.
Mengulas mengenai tawaran Trump untuk menjadi orang tengah, Singh berkata, beliau sudah menghubungi Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper dan memaklumkan bahawa India serta China ada cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Ratusan tentera India dan China terbabit dalam perbalahan terbabit yang tertumpu di wilayah Ladakh berhadapan Tibet.
Ketegangan berlaku pada 9 Mei lalu apabila puluhan tentera India dan China cedera dalam pergaduhan dan membaling batu antara satu sama lain di Sikkim.
Sejak ketegangan berlaku, kedua-dua negara menghantar pasukan tambahan dan kelengkapan ketenteraan di zon berkenaan. – AFP