Wednesday, November 27, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    India rampas 5.5 tan dadah terbesar dari Myanmar

    NEW DELHI, 26 NOV – Pengawal Pantai India hari ini mengumumkan bahawa mereka telah merampas satu jumlah dadah terbesar dalam sejarah mereka apabila berjaya menggagalkan penyeludupan 5.5 tan methamphetamine dari Myanmar.

    Sebuah pesawat pengawasan Pengawal Pantai India (ICG) telah mengesan sebuah bot nelayan kecil di Laut Andaman – yang terletak di antara India dan Myanmar – beroperasi dengan cara yang mencurigakan.

    Sebuah kapal pengawal pantai dihantar dan anggota kapal tersebut menaiki bot berkenaan pada awal pagi Ahad lalu ketika bot nelayan yang membawa enam warga Myanmar itu memasuki perairan wilayah India, menurut kenyataan pengawal pantai.

    “Pasukan yang menaiki bot tersebut menemui kira-kira 5,500 kilogram dadah terlarang,” katanya.

    “Rampasan ini adalah serbuan dadah terbesar yang pernah dilakukan oleh ICG, yang menonjolkan komitmen mereka untuk menjaga keselamatan perairan wilayah India.”
    Bot tersebut kini dibawa ke sebuah pangkalan tentera laut India.

    Gambar Freepik

    Myanmar sedang berada dalam kekacauan sejak tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih yang dipimpin Aung San Suu Kyi pada tahun 2021 dan melancarkan tindakan keras yang mencetuskan pemberontakan bersenjata.

    Negeri Shan di Myanmar merupakan sumber utama dadah sintetik, kebanyakannya dihasilkan di makmal haram yang tersembunyi di kawasan hutan bergunung yang dikuasai oleh kumpulan bersenjata di sempadan Thailand.

    Pengeluar dadah semakin beralih kepada penyeludupan melalui bot bagi mengelakkan rondaan yang lebih ketat di laluan darat melalui China dan Thailand.

    Menurut Pejabat Narkotik dan Jenayah PBB (UNODC), sebanyak 190 tan methamphetamine telah dirampas di Asia Timur dan Tenggara pada tahun 2023.

    Rampasan yang dilakukan oleh India itu dijangka bernilai jutaan dolar di pasaran gelap.

    Walau bagaimanapun, pakar PBB menyatakan bahawa pengeluaran secara besar-besaran menyebabkan harga borong dadah serendah AS$400 setiap kilogram di kawasan pengeluaran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda